PASIR MAS: Penduduk dari Kampung Tok Rusa di sini, sanggup menyediakan tapak untuk membina menara telekomunikasi kerana sudah tidak sanggup berdepan masalah capaian internet di kawasan berkenaan sejak bertahun lamanya.
Dakwa penduduk, masalah itu sangat dirasai ketika sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) semasa penularan Covid-19 lalu yang mana ibu bapa terpaksa membawa anak-anak keluar mencari lokasi mempunyai capaian internet kuat untuk pembelajaran secara dalam talian.
Fauzi Dollah, 59, berkata, terdapat sebidang tanah lapang yang sesuai untuk pembinaan menara telekomunikasi itu.
“Harap pihak berkaitan ambil perhatian isu liputan komunikasi yang sangat teruk di kampung ini. Masalah tiada liputan telekomunikasi yang kritikal ini menyebabkan anak-anak yang bersekolah tidak dapat akses internet,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Sakry Fauzi, 42, berkata, sudah tiba masanya sebuah menara telekomunikasi dibina di kampung ini.
Katanya, untuk mendapatkan liputan internet yang laju, penduduk terpaksa keluar dari Kampung Tok Rusa ke kampung sebelah sejauh tiga kilometer iaitu ke Kampung Meranti.
“Hanya lokasi hadapan Balai Polis Meranti ada liputan internet laju, di kampung kami langsung tiada.
“Ada telefon pun tidak dapat guna, tiada liputan komunikasi, nak buat panggilan pun tak boleh, nak akses internet pun tak dapat,” ujarnya. –UTUSAN