KLANG: Penduduk di sekitar Klang bimbang banjir teruk seperti yang berlaku pada Disember tahun lalu kembali berulang berikutan situasi ketika ini sering hujan lebat dan kawasan mula dinaiki air.
Seorang mangsa, Chee Ee Ann, 40, berkata, kejadian pada tahun lalu masih menghantui dirinya walaupun kawasan perumahannya di Pandamaran tidak berlaku banjir teruk seperti beberapa kawasan pada kejadian tahun lalu.
“Kalau tak silap saya, hujan dalam pukul 11 malam semalam (Rabu). Hujan tak berhenti selama beberapa jam, menyebabkan paras air naik sehingga buku lali,” katanya ketika ditemui di Pandamaran, di sini, hari ini.
Seorang lagi mangsa, Woo Tian Meen, 35, berkata, air naik begitu cepat menyebabkan dia segera memindahkan barang-barang ke tingkat dua rumahnya dan bernasib baik air mulai surut kira-kira pukul 7 pagi.
“Saya harap sesiapa yang jadi Ahli Parlimen Klang lepas ini, tolong selesaikan isu banjir di daerah ini.
“Saya yakin ramai penduduk di Klang sudah letih menghadapi kejadian yang sama,” katanya yang sudah tinggal 10 tahun di Pandamaran.
Sementara itu, calon BN yang bertanding di Parlimen Klang, Tee Hooi Ling ketika meninjau keadaan penduduk terjejas itu berkata, beliau akan berusaha sebaik mungkin bagi menyelesaikan isu tersebut.
Menurutnya, pasukannya kini sedang merangka beberapa pelan mengatasi masalah banjir di Parlimen Klang. – UTUSAN