ANALISIS
PENUBUHAN kerajaan negeri Perak selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) mencatat sejarah penting dalam politik tanah air apabila dibentuk menerusi gabungan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).
Meskipun ia kerjasama BN dan PH, namun, gabungan itu lebih dilihat sebagai kerjasama di antara UMNO dan DAP, dua parti berteraskan kaum yang tidak pernah bekerjasama sejak ditubuhkan walaupun PKR, Amanah dan lain-lain parti merupakan antara komponen PH.
Ketika parti lain termasuk Pas pernah menjalin kerjasama dengan DAP, pasca PRU15 mencatat sejarah apabila UMNO dan DAP akhirnya bergabung membentuk kerajaan negeri di Perak.
Permusuhan ketat selama berpuluh tahun di antara UMNO dan DAP berakhir, sebaliknya berada dalam satu kerajaan.
Komposisi gabungan PH dan BN yang dibentuk kerajaan negeri Perak terdiri daripada sembilan ADUN BN manakala PH mempunyai 24 ADUN.
Pembentukan kerajaan negeri yang baru selepas PRU15 berjalan lancar dan pantas tanpa sebarang isu, sesuatu yang tidak jangka ketika negeri lain dan peringkat Persekutuan sukar menyaksikan pembentukan kerajaan.
Dua hari selepas selesai hari mengundi pada Sabtu lalu, kelmarin (Isnin) Datuk Seri Saarani Mohamad menerima perkenan daripada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah untuk ADUN Kota Tampan itu mengangkat sumpah sebagai menteri besar pada hari yang sama.
Ini diikuti semalam (Selasa), 10 ADUN mengangkat sumpah sebagai exco kerajaan negeri iaitu tiga ADUN BN daripada UMNO iaitu Datuk Mohd. Zolkafly Harun (Lintang), Salbiah Mohamed (Temengor) dan Khairudin Abu Hanipah (Belanja).
Tujuh lagi exco terdiri daripada wakil parti dalam PH, empat daripadanya ADUN DAP iaitu A. Sivanesan (Sungkai), Teh Kok Lim (Aulong), Loh Sze Yee (Jalong) dan Woo Kah Leong (Pasir Bedamar), dua exco dari PKR, Sandrea Ng (Teja) dan Mohd. Azlan Helmi (Tualang Sekah) dan seorang daripada PKR, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin (Sungai Rapat) daripada Amanah.
Penubuhan kerajaan BN dan PH di Perak mendapati pelbagai reaksi daripada rakyat dan apa yang jelas ramai yang bimbang jika kerajaan pimpinan Saarani mungkin dikuasai oleh PH terutama DAP.
Berdasarkan reaksi rakyat akar umbi dan dalam media sosial, rakyat bimbang berkaitan isu hak milik kekal tanah 999 tahun, kepentingan Melayu dan Islam jika DAP berada dalam kerajaan.
Kerisauan rakyat berasas selepas melihatkan kepada kerajaan negeri PH ketika di bawah Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang mana bekas menteri besar itu mengakui hubungannya dengan DAP begitu sukar.
Namun, dalam konteks kerajaan negeri Perak yang diterajui Saarani kali ini, beliau yang kembali ke jawatan menteri besar seorang yang berpengalaman untuk memimpin Perak dengan PH.
Saarani sudah tentu ada cara untuk menjadikan kerajaan pimpinannya tidak dikawal oleh DAP.
Ini dapat dilihat berdasarkan pelantikan tujuh exco PH semalam apabila tiada nama-nama pemimpin besar DAP.
Ini memperlihatkan betapa DAP menyedari parti itu tidak boleh dilihat sebagai ‘tidak selesa’ dalam kalangan Melayu jika meletakkan pemimpin sedemikian dalam kerajaan negeri.
Mohd. Zolkafly, Mohammad Nizar dan Sivanesan masing-masing pernah memegang jawatan Exco di bawah pentadbiran kerajaan negeri sebelum ini.
Lain-lain exco DAP yang dilantik hari ini merupakan muka baharu yang dilihat tidak mempunyai rekod pernah membuat kenyataan-kenyataan kontroversi.
Dalam aspek lain, Saarani semasa menjadi menteri besar di bawah kerajaan negeri sebelum ini jelas sekali berjaya mengawal PH semasa menjadi pembangkang malah kerajaan yang beliau terajui selepas Ahmad Faizal kalah dalam undi percaya terhadap beliau, disokong oleh ADUN Pembangkang.
Selepas Saarani menerajui kerajaan negeri, tiada lagi kedengaran apa jua yang ditimbulkan pembangkang, tidak banyak serangan dan kritikan oleh pembangkang terhadap beliau.
Malah, sesi sidang DUN Perak yang dikenali sentiasa panas sejak sekian lama, tiba-tiba bertukar suasana menjadi aman tanpa ada isu besar yang berlaku.
Ini jelas pembangkang dapat dikawal oleh Saarani kerana beliau tidak pernah mengetepikan pembangkang dalam banyak perkara termasuk peruntukan untuk pembangkang yang dibahagi sama rata, menyebabkan pembangkang selesa bekerjasama dengan beliau.
Kini, BN dan PH sudah bersama dalam satu kerajaan, sudah tentu persefahaman sedemikian akan diteruskan dan ditambah baik demi rakyat.
Dari satu segi, Saarani dikenali sebagai seorang yang tegas, tiada sebarang isu dan sudah tentunya tidak sama sekali akan mengikut telunjuk PH. – UTUSAN