Rugi RM10,000 tidak patah semangat usahawan cili berjaya - Utusan Malaysia

Rugi RM10,000 tidak patah semangat usahawan cili berjaya

WAN Mohammad Afiq Wan Zainalabidin (depan) dan Mohamad Nafiis Ahmad meninjau tanaman cili fertigasi yang diusahakan di Kampung Bukit Bayas, Kuala Terengganu. - UTUSAN/TENGKU DANISH BAHRI TENGKU YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Dua pemuda menjadikan kegagalan mengusahakan tanaman cili fertigasi sebelum ini untuk bangkit sebagai usahawan berjaya dalam bidang pertanian.

Mohamad Nafiis Ahmad, 29, dan Wan Mohammad Afiq Wan Zainalabidin, 22, mengalami kerugian lebih RM10,000 ketika pertama kali memulakan tanaman cili pada 2020.

Wan Mohamad Nafiis yang juga bekas jurujual kereta berkata, perusahaan itu dijalankan sewaktu pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Bukit Payung, Marang.

Namun, menurutnya, dia dan rakannya itu terpaksa berputih mata selepas hampir 1,000 pokok cili rosak dan mati dimakan kulat.

“Ketika awal penglibatan dalam perusahaan tanaman cili, kami disindir dan dipandang serong oleh orang sekeliling termasuk rakan-rakan tetapi kami tidak ambil hati.

“Kemusnahan tanaman itu membuatkan kami terduduk sebelum bangkit dan nekad memulakan semula penanaman pokok cili di tanah berkeluasan 0.3 hektar di Kampung Bukit Bayas, di sini September lalu.

“Selain belajar daripada pengusaha tanaman berpengalaman, kami turut menonton media sosial seperti Youtube dan Facebook sebagai bahan rujukan. Kira-kira 1,300 pokok cili ditanam di dalam polibag dan pemantauan sentiasa dilakukan bagi memastikan serangan kulat tidak berulang dan akhirnya membuahkan hasil

“Selepas sebulan, lebih 600 kilogram (kg) cili berjaya dipetik dan dijual kepada pemborong, pasaraya, pengusaha restoran dan penduduk sekitar,” jelasnya ketika ditemui di sini semalam.

Sementara itu, menurut Wan Mohammad Afiq, dia terpaksa menangguhkan pengajian Sains Sukan di sebuah universiti bagi memberi tumpuan penuh kepada perusahaan itu.

Menurutnya, langkah itu dianggap berbaloi selepas melihat hasil daripada penanaman pokok cili bersama rakannya itu mula memberi pulangan lumayan.

“Kami memulakan tanaman cili itu menggunakan benih jenis ‘Sakata’ daripada Jepun malah sudah berjaya dipetik secara berperingkat untuk dipasarkan.

“Cili berkenaan dijual mengikut gred iaitu antara RM10 sehingga RM12 untuk harga borong manakala RM12 sehingga RM15 sekilogram untuk harga runcit.

“Dijangkakan hasil cili yang diusahakan ini boleh melebihi satu tan metrik. Kami sangat bersyukur usaha ini nampaknya semakin berjaya dan berhasrat menembusi pasaran luar,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya