KLANG: Janji calon Parlimen Kota Raja dari Pakatan Harapan (PH), Mohamad Sabu atau Mat Sabu untuk mengatasi masalah banjir di kawasan Parlimen tersebut dengan kos RM50 bilion dianggap tidak masuk akal dan mengarut.
Menurut Ketua Pemuda UMNO Kota Raja, Sheikh Weshal Sheikh Ahmad, kos setinggi itu menunjukkan Mat Sabu bercakap semberono tanpa ada asas dan fakta yang kukuh.
“Sebenarnya Projek Canal City untuk mengatasi masalah banjir dicadangkan Kerajaan Negeri Selangor di bawah Barisan Nasional (BN) pada tahun 2007.
“Kos yang ditetapkan adalah RM3 bilion sahaja. Bagaimana Mat Sabu boleh meletakkan bajet sehingga RM50 bilion,” katanya dalam sidang akhbar bersama calon Parlimen Kota Raja dari BN, D.Kajendran di Taman Maznah, di sini hari ini.
Sheikh Weshal berkata, Canal City adalah projek pengaliran 30 peratus air Sungai Klang ke Sungai Langat pada waktu puncak yang dibatalkan Kerajaan Negeri Selangor di bawah Pakatan Rakyat selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU12).
Sementara itu, Kajendran berkata, manifesto RM50 bilion untuk menyelesaikan masalah banjir tersebut sepatutnya bersandarkan fakta, bukan disebut tanpa apa-apa data sokongan.
“Baru-baru ini Mat Sabu turun padang dan terus mengumumkan sesuatu tanpa memikirkan implikasi kewangan kepada negara.
“RM50 bilion bukan suatu jumlah yang sedikit. Berapa jumlah kosong ada di belakang, adakah dia sedar,” katanya.
Kajendran berkata, beliau berharap pemimpin PH berhenti berjanji bulan dan bintang kepada pengundi memandangkan sepanjang pemerintahan mereka selama 22 bulan, banyak manifesto PH tidak ditunaikan dengan alasan ‘macam mana hendak beranak jika baru kahwin’. – UTUSAN