RM1.3 juta bina tapak khairat kematian kaum India

RM1.3 juta bina tapak khairat kematian kaum India

ONN HAFIZ GHAZI (tengah) menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Tapak Khairat Masyarakat India di Tanjung Langsat, Pasir Gudang, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri memperuntukkan RM1.3 juta bagi membina tapak khas untuk mengendalikan upacara khairat kematian masyarakat India di Tanjung Langsat, Pasir Gudang, dekat sini.

Pembinaan tapak khas itu bagi memenuhi keperluan kaum berkenaan, khususnya di sekitar kawasan Masai dan Pasir Gudang yang berdepan isu itu sejak 20 tahun lalu.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, pembinaan tapak khas berkenaan dijangka memakan masa dua tahun untuk disiapkan dan tender sudah dikeluarkan serta pelaksanaan kerja akan dimulakan dalam tempoh terdekat.

“Usaha berkenaan secara tidak langsung menggambarkan inisiatif kerajaan negeri bagi mengatasi isu yang timbul dalam kalangan masyarakat India dan meningkatkan keselesaan mereka.

“Ia membantu mengatasi permasalahan, sekali gus menggambarkan keprihatinan kerajaan negeri. Kami berharap kemudahan berkenaan digunakan dengan sebaik mungkin kelak,” katanya selepas Majlis Pecah Tanah Tapak Khairat Masyarakat India di Tanjung Langsat, di sini hari ini.

Menurut Onn Hafiz, pembinaan tapak khas berkenaan sepatutnya dilaksanakan lebih awal namun ditangguhkan berikutan pertukaran pentadbiran kerajaan sebelum ini.

Beliau berkata, pelaksanaan berkenaan akan diteruskan sebagai legasi usaha dan inisiatif bekas Menteri Besar daripada kerajaan Barisan Nasional (BN).

Sementara itu, Setiausaha Pertubuhan Hindu Sangam negeri, K. Vijayan berkata, sebelum ini upacara yang biasa dijalankan waris si mati diadakan di merata-rata tempat dan dikhuatiri mengancam keselamatan.

Beliau berkata, dengan kewujudan tapak berkenaan yang pertama di negeri ini di kawasan seluas 0.4 hektar itu, keluarga si mati juga tidak perlu menanggung kos tinggi bagi menjalankan upacara terbabit.

“Kami berterima kasih kepada kerajaan negeri yang meluluskan tapak dan peruntukan berkenaan. Kami berharap kerajaan negeri terus mengambil pendekatan seumpama ini bagi memperkasakan masyarakat India,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya