SEBERANG PERAI: Seorang remaja lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangnya melanggar belakang sebuah kereta di Jalan Pasir Gebu, di sini petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4.52 petang itu, mangsa yang berusia 15 tahun maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Mohd. Radzi Ahmad berkata, kejadian berlaku ketika mangsa dalam perjalanan dari arah Pasir Gebu menghala ke Permatang Keriang.
“Setibanya di lokasi kejadian, motosikal mangsa telah melanggar bahagian belakang kereta sebelah kanan menyebabkan mangsa terjatuh ke laluan bertentangan sebelum dirempuh sebuah kereta.
“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Kepala Batas (HKB) dan bedah siasat akan dijalankan selepas menerima keputusan ujian calitan Covid-19,” katanya.
Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) APJ 1987. – UTUSAN