YAN: Perbuatan terkutuk dua remaja dan seorang lelaki yang disyaki merogol seorang remaja perempuan berusia 13 tahun secara berkumpulan pada Rabu lalu memakan diri apabila seorang daripada mereka dicekup polis, manakala dua lagi masih diburu.
Suspek remaja lelaki berusia 15 tahun berasal daripada Guar Cempedak ditahan polis selepas mangsa membuat laporan berkaitan kejadian itu pada pukul 4 pagi, 24 Oktober lalu.
Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Shahnaz Akhtar Haji berkata, seorang remaja lelaki berusia 15 tahun dan seorang lelaki dewasa berusia 28 tahun sedang diburu untuk membantu siasatan kes di bawah Seksyen 375B/377C Kanun Keseksaan.
Kata Shahnaz, pada pukul 6.30 petang Selasa, 23 Oktober lalu remaja perempuan yang tinggal di Sik itu menghubungi teman lelakinya berusia 15 tahun yang dikenali sebagai ‘Kecik’ untuk berjumpa.
“Kira-kira pukul 9 malam suspek bersama dua rakannya mengambil mangsa menaiki kereta jenis Proton Waja di Pasaraya Aneka Gurun dan membawanya untuk melihat lumba motosikal haram di Kuala Sedaka.
“Ketika sampai di kawasan ban Batu 17 berhampiran sawah padi, remaja itu memberhentikan kereta dipandunya dan mengajak remaja perempuan itu melakukan hubungan seks di kerusi belakang kenderaan manakala dua rakannya berada di luar,” katanya.
Kata Shahnaz, selepas itu salah seorang rakan remaja lelaki itu pula masuk ke dalam kereta dan mengajak mangsa melakukan hubungan seks tetapi ditolak.
“Bagaimanapun mangsa kemudiannya ditarik sebelum dirogol sebelum seorang lagi suspek memaksa remaja perempuan itu melakukan seks oral. Mangsa kemudian dibawa dan ditinggalkan di Pasaraya Aneka Gurun sebelum dia menghubungi bapanya seterusnya membuat laporan polis,” katanya.
Tambah Shahnaz, mangsa dirujuk ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) dan keputusan pemeriksaan mendapati terdapat kesan koyakan lama di kemaluan mangsa.
Katanya, remaja lelaki itu kini dalam tahanan reman, manakala dua rakan subahatnya yang berasal daripada Kampung Belida Mamak dan Kampung Perigi masih dalam buruan pihak polis. – UTUSAN