Razlan dakwa Muhyiddin, PN ulangi perangai curi wakil rakyat BN

Razlan dakwa Muhyiddin, PN ulangi perangai curi wakil rakyat BN

lompat parti
MOHD. RAZLAN RAFII
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin dan partinya didakwa mengulangi ‘perangai lama’ dengan mencuri ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) bagi memastikan mereka cukup majoriti untuk membentuk kerajaan.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Razlan Rafii berkata, kumpulan Muhyiddin tidak mempedulikan akta lompat parti dan tergugurnya ahli Parlimen terlibat sekali gus akan berlaku pilihan raya kecil (PRK), namun mahu menjadi Perdana Menteri semula menjadi agenda penting mereka.

Katanya, namun BN sudah menghidu satu perjumpaan di Ampang tetapi tidak mengetahui intipatinya dan sangkaan mulai kuat setelah Muhyiddin mengumumkan cukup jumlah menubuhkan kerajaan, sedangkan tidak ada wakil berjumpa untuk berbincang.

“Rupa-rupanya Muhyiddin, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Datuk Seri Azmin Ali serta rakan-rakan Pas mengulangi perangai lama, mengulangi kesalahan lalu mencuri sekali lagi. Mereka tidak peduli akta lompat parti, tidak peduli tergugurnya Ahli Parlimen itu lalu akan berlaku PRK lagi, yang mereka peduli adalah menjadi Perdana Menteri dengan mencuri.

“Sikap ini adalah sikap tidak bertanggungjawab, lalu saya mengutuskan surat kepada Istana Negara dengan niat untuk merayu agar mengambil tindakan yang mengikut tatacara sebaiknya. BN tidak ada waktu lagi, sekiranya ini terjadi, BN dikuburkan oleh Muhyiddin sekali lagi dengan kuasa, akan ada dimasukkan ke dalam penjara akibat tuduhan macam-macam sekiranya tidak dengar kata. Itu perangai Muhyiddin dan rakan-rakan mereka.

“Waktu singkat ini telah menyebelahi BN apabila istana memanggil Muhyiddin dan Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadap ke istana, Speaker sudah yakin dapat memuktamadkan calon Perdana Menteri, namun tindakan bijaksana Agong telah meleraikan semua kebuntuan surat akuan bersumpah,” tulis beliau dalam Facebook miliknya hari ini. 

Menurut Razlan, Seri Paduka memberikan peluang kepada Muhyiddin untuk bergabung dengan Pakatan Harapan (PH) membentuk kerajaan dengan cadangan penggiliran Perdana Menteri, sebaliknya beliau menolak hasrat itu.

“Anwar pula masuk menghadap, ‘Adakah kamu punyai majoriti?’ Anwar menjawab ‘ya’ namun itupun ditolak kerana ada kenyataan-kenyataan di luar bercanggah dengan sokongan yang Anwar peroleh. Lalu ditanya lagi, adakah kamu bersetuju menubuhkan kerajaan perpaduan, Anwar menjawab ‘ya’ dan tandatangan,” katanya.

Kata Razlan, Istana Negara pada petang sama mengeluarkan satu kenyataan meminta 30 ahli Parlimen BN mengadap menyatakan sokongan dan ini sekali lagi permainan tidak adil apabila hanya wakil rakyat dipanggil secara keseorangan bahkan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan lain-lain hanya dibuat dengan ketua mereka sahaja.

“Walhal ada juga komponen GPS yang tidak bersetuju dengan PN dan membuat kenyataan media.

“Sekali lagi cubaan untuk memecahkan ahli Parlimen BN, bermula sekali lagi sang pencuri mengorak langkah St. Regis untuk membuat tawaran dan imbuhan, saya sekali lagi buat kenyataan kerana dari awal dan meletakkan syak wasangka dengan Speaker yang tidak habis-habis mahu mengenakan BN.

“Alhamdulillah, kebijaksanaan Tuanku telah mengubah dari memanggil menghadap 30 ahli Parlimen BN kepada ketua parti sahaja, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi membawa Timbalan Presiden UMNO bersama manakala GPS membawa 5 wakil parti mereka.

“Ditanya kepada Presiden Parti, istana bercadang menubuhkan Kerajaan Perpaduan, apa pendapat Ahmad Zahid, ‘Ampun Tuanku, Patik bersetuju’ jawapannya ‘ya dan ditandatangan dibawah disaksikan Timbalan Presiden,” katanya.

Menurut Razlan lagi, dalam pengiraan Istana, sudah cukup jumlah untuk menubuhkan kerajaan apabila ada dua kumpulan yang bersetuju dengan titah Seri Paduka untuk menubuhkan Kerajaan Perpaduan.

“Keesokan harinya, Majlis Raja-raja bersidang untuk memuktamadkan keputusan memilih Perdana Menteri danPN bermesyuarat untuk mendengar berita dari Istana melalui mata-mata, sebaik sahaja pukul 12 tengah hari.

“PN membuat pusingan U dengan bersetuju untuk Kerajaan Perpaduan lalu ia sudah terlewat, Istana sudah mengambil keputusan. Begitu terdesak dengan Kuasa, PN dengan perangai tidak bermaruah menjilat ludahnya semula.

“Ada banyak lagi peristiwa sewaktu kejadian-kejadian ini, kumpulan pendesak, kumpulan St Regis, kumpulan pencuri, kumpulan mesyuarat sebelum mesyuarat, saya akan ceritakan sekiranya berjumpa dengan sesiapa sahaja yang mahu mengetahuinya. Ia bukan lagi rahsia yang perlu disimpan,” jelasnya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya