PETALING JAYA: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad gagal mempertahan kerusi Parlimen Langkawi apabila tewas di tangan calon Perikatan Nasional (PN) dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Mohd. Suhaimi Abdullah.
Malah, beliau turut kehilangan deposit apabila hanya mengumpul 4,566 undi daripada keseluruhan 47,480 undi untuk Parlimen tersebut.
Ia merupakan kali kedua beliau tewas dalam perebutan kerusi Parlimen sepanjang penglibatannya dalam politik, selepas di tewas di tangan Yusof Abdullah atau lebih dikenali sebagai Yusof Rawa dalam Pilihan Raya Umum (PRU) 1969.
Sementara itu, Mohd. Suhaimi memenangi kerusi Parlimen Langkawi dengan majoriti 13,518 undi selepas mengumpul 25,463 undi menewaskan empat calon lain termasuk Dr. Mahathir.
Calon Barisan Nasional (BN), Datuk Armishah Siraj berada di tempat kedua dengan 11,945 undi manakala calon Pakatan Harapan (PH), Zabidi Yahya memperoleh 5,417 undi.
Calon Bebas, Abd. Kadir hanya menerima 89 undi. – UTUSAN