JERAI: Penyandang kerusi Parlimen Jerai, Sabri Azit mencatat kemenangan bergaya sekali gus berjaya mempertahankan kerusi tersebut dengan majoriti selesa sebanyak 33,192 undi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Kemenangan calon Perikatan Nasional (PN) itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Jerai, Mohamad Subhi Abdullah pada pukul 1 pagi di Pusat Penjumlahan Undi Dewan Serbaguna, Guar Chempedak, di sini.
Sabri memperoleh sebanyak 49,461 undi mengatasi calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang mendapat 16,269 undi, manakala calon Pakatan Harapan (PH), Zulhazmi Shariff (15,590) dan calon Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Nizam Mahshar (973).
Jumlah majoriti yang diperoleh Sabri menunjukkan peningkatan ketara pada kali ini berbanding PRU14 yang hanya menyaksikan majoriti kecil sebanyak 539 undi juga menewaskan Jamil Khir.
Sementara itu, peratusan keluar mengundi untuk kerusi tersebut adalah 79.33 peratus dengan 82,293 undi dikira berbanding 105,801 pengundi berdaftar. –UTUSAN