KUALA NERUS : Calon Perikatan Nasional (PN), Datuk Dr. Alias Razak daripada Pas berjaya memenangi Parlimen Kuala Nerus dengan majoriti 29,765 undi dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Terengganu menewaskan tiga calon lain termasuk penyandangnya, Datuk Mohd. Khairuddin Aman Razali yang bertanding mewakili Barisan Nasional (BN).
Alias memperolehi 56,697 undi manakala Mohd. Khairuddin memperolehi 26, 932 undi, diikuti Datuk Seri Suhaimi Hashim (Pakatan Harapan) dengan 3,708 undi manakala Azaha Wahid (Pejuang) pula 291 undi.
Kemenangan Alias diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Kuala Nerus, Ahmad Azizi Zulkifli.
Pada PRU14, Mohd. Khairuddin yang ketika itu mewakili Pas memenangi kerusi parlimen tersebut dengan majoriti 8,447 undi. – UTUSAN ONLINE