SHAH ALAM: Institusi pengajian tinggi (IPT) seharusnya memastikan perangkaan pelan pengajian selari dengan permintaan pasaran terutama dalam bidang yang mampu membentuk masa depan negara.
Pro Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin bertitah, langkah itu bagi membantu graduan mendapat pekerjaan sekali gus meningkatkan ekonomi dan taraf hidup sesebuah keluarga.
Titah baginda, UiTM sejak 2020 telah merangka dan menawarkan 41 program baharu dalam bidang dikenal pasti memerlukan tenaga kerja mahir di negara ini.
“Penawaran program ini sangat penting bagi menambah jumlah golongan bumiputera profesional di Malaysia. Matlamat penubuhan universiti perlu dipenuhi supaya keseimbangan guna tenaga dapat diwujudkan terutama membantu anak B40 dan M40 dalam sektor pekerjaan,” titah baginda pada Istiadat Konvokesyen UiTM ke-95 di Dewan Agung Tuanku Canselor UiTM Shah Alam di sini, semalam.
Pada istiadat itu, Tengku Permaisuri Norashikin berkenan menyampaikan penganugerahan Profesor Emeritus kepada Datuk Ir. Doktor Ow Chee Sheng yang merupakan bekas Presiden Institut Kejuteraan Malaysia.
Konvokesyen kali ini melibatkan seramai 31,220 graduan dengan sidang pertama melibatkan 116 graduan ijazah kedoktoran.
Tengku Permaisuri Norashikin bertitah, UiTM adalah universiti utama pilihan ibu bapa dan pelajar kerana kemampuannya dalam menyerlahkan potensi serta membentuk masa depan.
“Selain itu, universiti ini menjadi tumpuan kerjasama syarikat besar seperti Talentcorp dan Talentbank dalam pelbagai aktiviti yang boleh membantu meningkatkan kebolehpasaran graduan. Saya percaya UiTM terus relevan bagi membangunkan pendidikan bumiputera sesuai dengan asas penubuhannya 61 tahun lalu,” titah baginda.
Dalam pada itu, baginda difahamkan UiTM turut terlibat dengan usaha mencapai objektif matlamat pembangunan mampan atau Sustainable Development Goal (SDG).
“Alhamdulillah, lebih membanggakan apabila UiTM berada pada kedudukan ke-150 terbaik di dunia daripada 956 Institusi Pengajian Tinggi yang tersenarai bagi U.I. Green-Metric (U.I.G.M.) World University Rankings 2021.
“UiTM turut berada pada tangga kesembilan daripada 28 universiti di Malaysia. Semoga kejayaan ini memberikan inspirasi ke arah menjadi universiti terkemuka dunia menjelang 2025,” titah baginda. – UTUSAN