SUNGAI BULOH: Calon Pakatan Harapan (PH) Parlimen Sungai Buloh, Datuk R. Ramanan menandatangani akuan bersumpah (SD) menyalurkan semua gaji termasuk elaun beliau sebagai Ahli Parlimen sekiranya memenangi kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU 15).
Perkara berkenaan diumumkannya di hadapan penyokong dan penduduk Sungai Buloh yang hadir pada Ceramah Umum Kota Damansara, di Seksyen 4, Kota Damansara, di sini, malam tadi.
Ramanan berkata, tindakannya menandatangani SD berkenaan bertujuan membuktikan beliau individu menepati janji dan bukannya seorang yang hanya pandai berkata manis.
“SD berkenaan saya ada letak gaji termasuk elaun yang mana apa dibayar kepada saya oleh kerajaan seringgit pun saya tidak akan ambil.
“Ini satu komitmen untuk menunjukkan bahawa apa yang saya cakap saya akan buat dan saya simpan kata saya kerana ia bukan janji-janji manis yang sedang dikeluarkan oleh calon BN,” katanya.
Ramanan yang juga Timbalan Ketua Penerangan 1 PKR berkata, SD berkenaan juga bertujuan menidakkan dakwaan penyokong Barisan Nasional (BN) yang mengatakan beliau akan membuat pusingan ‘u’ sekiranya memenangi kerusi Sungai Buloh.
“Saya bukan macam Khairy, kalau saya cakap saya buat saya akan buat, saya tidak buat ‘flip flop’ punya kerja seperti Khairy,” katanya.
Terdahulu, Ramanan pada Ceramah Mega Paya Jaras, Ahad lalu mengumumkan beliau tidak akan mengambil gajinya sebagai Ahli Parlimen sekiranya memenangi kerusi Sungai Buloh pada PRU 15.
Katanya, wang berkenaan akan disalurkan untuk kegunaan rumah-rumah ibadat di Parlimen Sungai Buloh seperti masjid, surau, kuil, gereja dan tokong.
Parlimen Sungai Buloh bakal menyaksikan pertandingan tujuh penjuru melibatkan Khairy Jamaluddin (BN), Ramanan (PH), Mohd. Ghazali Md. Hamin (PN), Mohd. Akmal Mohd. Yusof (GTA), Ahmad Jufliz Faiza (PRM) dan Nurhaslinda Basri serta Syed Abdul Razak Syed Long Alsagof masing-masing calon Bebas. – UTUSAN