KUALA LUMPUR: Pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Setiawangsa di sini kembali ‘dibanjiri’ pengundi di kawasan tersebut setelah hujan berhenti, petang ini.
Sekolah berkenaan mempunyai lebih 6,000 pengundi berdaftar melibatkan 11 saluran peti undi.
Seramai 64 petugas Suruhanjaya Pilihan Jaya (SPR) ditugaskan di tempat mengundi itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), hari ini.
Pemerhatian Utusan Malaysia mendapati, golongan muda dan pertengahan usia dilihat paling ramai hadir mengundi setakat pukul 3 petang ini.
Dalam pada itu, calon Perikatan Nasional (PN) bagi Parlimen Setiawangsa, Nurul Fadzilah Kamaluddin dan calon Bebas, Lim Yen Tiong turut berada di sekolah berkenaan untuk melihat perjalanan proses pengundian di situ.
Mereka dilihat tiba di pusat pengundian itu pada pukul 3 petang sebelum beredar kira-kira setengah jam kemudian.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Nurul Fadzilah berkata, beliau dimaklumkan oleh penyelia bahawa pengundi muda ramai yang turun mengundi hari ini.
“Saya rasa teruja dan gembira mendengar berita itu kerana anak muda mula cakna dengan PRU,” katanya.
Sementara itu, Lim Yen berkata, rata-rata respon pengundi di kawasan Setiawangsa terhadap tanggungjawab mereka memuaskan.
Namun, jelasnya, ada beberapa pusat mengundi di kawasan ini seperti di Seksyen 10 kurang mendapat sambutan.
“Saya melihat pusat mengundi di Taman Sri Rampai menerima jumlah pengundi yang ramai. Namun, suasana di Seksyen 10 tidak begitu meriah. Saya hadir ke situ tadi keadaannya sangat tenang jauh beza berbanding di SK Setiawangsa ini,” katanya.
Dalam pada itu, pengundi muda kelihatan teruja dan bersemangan untuk mengundi buat kali pertama.
Awatif Ahmad, 20, berharap semua pengundi muda keluar mengundi dan tidak mensia-siakan peluang yang diberikan untuk memilih pemimpin negara.
“Ini kali pertama saya mengundi. Sebelum ini hanya mampu melihat orang dewasa mengundi. Bila diberikan peluang ini, saya teruja dan semangat untuk melakukannya demi masa depan negara yang lebih baik.
“Saya harap semua orang muda turut turun mengundi kerana keputusan yang perlu dilakukan ini adalah untuk kebaikan kita bersama,” katanya.
Parlimen Setiawangsa menyaksikan persaingan enam penjuru antara penyandangnya daripada Pakatan Harapan (PH), Nik Nazmi Nik Ahmad dengan Nurul Fadzilah, Bibi Sunita Sakandar Khan (Pejuang), Datuk Seri Izudin Ishak (BN) serta Mior Rosli dan Yen Tiong.
Pada PRU14, Nik Nazmi memenangi kerusi Parlimen itu dengan majoriti 14,372 undi. – UTUSAN