GOMBAK: Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Gombak, Datuk Megat Zulkarnain Omardin gembira melihat angka kehadiran rakyat keluar mengundi sekali gus menjadi petanda demokrasi negara diraikan semua.
Megat Zulkarnain yang tiba di pusat mengundi SK Taman Seri Gombak 2 sekitar pukul 11.45 pagi itu berkata, perubahan sikap positif rakyat khususnya generasi muda membuktikan kematangan mereka dalam memilih kerajaan.
“Saya difahamkan di Gombak, kehadiran pengundi cukup luar biasa. Ini adalah tanda seluruh rakyat terutama di Gombak meraikan demokrasi dalam memilih kerajaan baharu.
“Kali ini nampak perubahan positif pengundi. Keputusan akan diketahui beberapa jam sahaja lagi. Kita harap dan doa yang terbaik,” katanya.
Ketua UMNO Bahagian Gombak itu berentap dengan penyandang tiga penggal kerusi panas itu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (PN), calon Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Amirudin Shari, calon Gerakan Tanah Air (GTA), Jamaludin Mohd Tahir dan seorang calon bebas, Zulkifli Ahmad.
Dalam pada itu, Megat Zulkarnain berkata, pengundi kini lebih bersifat ingin tahu sebelum membuat keputusan mengundi.
“Dalam tempoh berkempen, kita dapat lihat kematangan rakyat dalam berpolitik. Itu satu perubahan positif yang seharusnya kita raikan.
“Saya percaya mereka akan memilih calon yang layak dan diyakini mampu menggalas tanggungjawab sebagai wakil rakyat,” ujarnya. – UTUSAN