Rakyat menanti manifesto

Rakyat menanti manifesto

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Selepas pengumuman nama-nama calon bagi mewakili parti masing-masing termasuk Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) se­­malam, rakyat kini menunggu apa pula janji dan ta­waran da­lam manifesto parti-parti yang bertanding.

Walaupun manifesto bukan ‘kitab suci’, yang pasti rakyat meng­harapkan tawaran yang bo­leh memberi manfaat kepa­da mereka dan negara.

Pendek kata, bukannya jan­ji palsu atau kitar semula yang ditabur sekadar untuk meraih undi dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Bercakap kepada Utusan Ma­laysia, penganalisis politik, Prof. Madya Dr. Mohd. Izani Mohd. Zain berkata, tawaran dan janji yang bersifat jangka panjang amat dinanti-nantikan oleh rak­yat bagi mereka mengubah gaya hidup ke arah yang lebih baik pada masa depan.

Beliau berkata, sudah tiba ma­sanya untuk parti politik menilai semula setiap tawaran yang dibuat dan ia perlu bersifat mampu tunai dan bukannya sekadar janji untuk menang.

“Ambil contoh Pengerusi DAP, Lim Guan Eng semalam yang sekali lagi tabur janji untuk hapuskan tol, bagi saya itu merupakan janji kitar semula seperti yang dibuat pada PRU14. Ia sukar ditunai kerana melibatkan implikasi kewa­ngan yang besar kepada negara.

“Saya hairan, jika ada yang masih percaya (hapus tol) ini boleh dilaksanakan di Malaysia. Sebelum ini, sudah janji nak hapus tol namun, janji tinggal janji. Jadi, saya anggap ia sekadar janji populis sahaja,” katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau mengulas mengenai perkara yang sepatutnya ada dalam manifesto parti politik menjelang PRU15 dan janji apa yang diperlukan oleh rakyat bagi menjamin kehidupan yang lebih baik pada masa hadapan.

Kelmarin, Guan Eng berjanji tol di Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) akan dimansuhkan sekiranya PH diberi mandat membentuk kerajaan selepas PRU15. Janji itu menyaksikan ulangan janji sama yang pernah ditawarkan PH pada PRU14.

Bagi menghadapi PRU15, PH akan mengumumkan manifestonya dikenali sebagai ‘Tawaran Harapan Kita Boleh’ esok yang akan dilancarkan Pengerusinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Presiden PKR.

Barisan Nasional (BN) pula akan ‘menghidangkan’ lebih 10 teras dan aku janji untuk rak­yat dalam manifesto parti itu pada PRU15 kali ini dengan le­bih 90 tawaran untuk dinikmati pelbagai lapisan masyarakat daripada kumpulan minoriti sehingga yang majoriti.

Selain itu, Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan, parti itu akan melancarkan manifestonya selepas hari penamaan calon dan akan beri tumpuan kepada bantuan kepada rakyat dan pelaksanaan kandungan Bajet 2023.

Mengulas lanjut, Mohd. Izani berkata, rakyat ketika ini sudah bijak untuk menilai sama ada janji yang boleh ditunaikan atau tidak dalam pilihan raya kerana pada PRU14 dahulu ramai yang tertipu dengan janji-janji manifesto

“Perlu diingat, segala tawaran dan janji-janji yang dibuat ini akan dituntut rakyat selepas parti yang mereka undi dalam PRU mendapat mandat untuk mentadbir negara dan jika tidak dilaksana ia boleh menjadi ‘senjata makan tuan’ apabila pilihan raya seterus­nya,” katanya.

Sementara itu, penganalisis politik, Prof. Dr. Kartini Aboo Talib berkata, parti politik perlu mengambil kira keadaan ekonomi semasa untuk merangka janji-­janji dan tawaran yang ingin dimuatkan di dalam buku manifesto masing-masing.

Kalau diperhatikan, katanya, apa yang perlu ditawarkan itu perlu berkait dengan keadaan ekonomi semasa kerana rakyat mahukan jaminan kehidupan dan pekerjaan yang lebih baik. Pada 2023 ramai yang ramalkan ekonomi penuh cabaran, jadi, ia perlu diambil kira.

“Bagaimanapun, semua perlu ingat bahawa janji manifesto ini bukannya satu janji yang harus ditunaikan. Ia ha­nya agenda, daya penarik atau gula-gula untuk rakyat memilih parti mana yang menjadi pilihan mereka.

“Jika tidak ditunaikan, rakyat hanya boleh labelkan ia satu manifesto yang gagal itu sahaja. Bagi saya, segala janji yang dibuat perlu menghambil kira kapasiti dan keupayaan perbendaharaan negara untuk pelaksanaannya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya