BERMULA sebagai pelakon tambahan dalam lem Busker The Movie seawal usia 17 tahun, bakat baharu, Raden Zaharatul menanam cita-cita untuk bergandingan dengan pelakon berwibawa, Bront Palarae.
Juara program realiti Fit For Action TV3 itu berkata, minat mendalam terhadap mutu lakonan Bront yang pernah dinobatkan sebagai Pelakon Lelaki Terbaik, Anugerah Skrin Ke-14 membuakkan lagi keinginannya.
“Saya minat sangat dengan Bront kerana dia sudah buktikan sebagai pelakon yang berjaya, bahkan turut menempa nama di luar negara.
“Saya berharap dapat berlakon dengannya, suatu hari nanti,” kata anak kedua daripada tiga beradik itu.
Raden sebenarnya sudah lama berhasrat menjadi pelakon, malah sejak kecil impian itu sudah tertanam.
Peluang itu akhirnya menjelma apabila terpilih menjadi pelakon tambahan ketika usia remaja pada 2018.
Namun, kata pelakon berusia 23 tahun ini, dia terpaksa berhenti seketika daripada berlakon untuk memberikan tumpuan kepada pengajian peringkat ijazah sarjana muda di universiti.
REZEKI JUARA
Disebabkan dunia seni tetap menjadi minatnya, Raden yang berasal dari Johor Bahru, Johor mencari bimbingan dalam bidang lakonan.
Hasratnya tercapai selepas TV3 mencari bakat baharu menerusi program realiti berkonsepkan cabaran lakon layar dan fizikal bagi mencungkil pelakon versatil.
“Selama ini, saya hanya belajar daripada pengalaman di lokasi penggambaran. Jadi, apabila dapat peluang berguru secara formal, saya sangat bersyukur.
“Program ini ada mentor yang berpengalaman seperti kelas bersama Ellie Suriaty. Saya sangat suka cara dia mengajar, malah kami juga diasuh untuk mempraktikkan segala teori yang diterapkan.
“Tambahan pula, Ellie adalah pengarah dan pelakon. Setiap pengarah ada teknik yang berbeza. Sebagai peserta, saya dapat perspektif dan sudut pandang berbeza, sekali gus melengkapkan ilmu lakonan,” kongsinya.
Selepas menamatkan perjalanan dalam Fit For Action, rezeki Raden mula mencurah-curah apabila ditawarkan menjadi heroin dalam slot akasia TV3, My Mister Blind Date bergandingan dengan pelakon, Hafidz Roshdi.
Dia juga baru menjalani penggambaran Kerana Cinta Itu Ada yang akan disiarkan di slot Akasia, bulan depan, selain beberapa drama terbitan TV3 dan RTM.
Walaupun lebih gemar dengan watak antagonis, sebagai pelakon baharu, katanya, dia akan menggalas sehabis baik setiap peranan yang diberikan pengarah.
“Agak gementar juga selepas keluar daripada program realiti yang bertujuan mencari pelakon versatil. Apatah lagi, diberi kepercayaan sebagai heroin, sudah tentu jangkaan penonton sangat tinggi,” katanya.
KEKAL POSITIF
Ditanya cabaran yang bakal dihadapi setelah memilih menjadi pelakon, Raden yang mempunyai lebih 60,000 pengikut di Instagram bersedia dengan segala risiko.
Bagi Raden, perjalanannya masih panjang dalam dunia seni. Baik kisah negatif mahupun hal peribadi yang bakal diselongkar saat berada di kemuncak kelak, Raden optimis dengan liku perjalanan sebagai insan seni.
“Kalau tidak berlakon pun, warga maya sudah kecam gambar yang saya muat naik di media sosial. Saya sudah bersiap sedia untuk berdepan segala kemungkinan apabila mengambil keputusan ini.
“Kita tidak boleh kawal persepsi orang lain. Saya faham situasi ini dan perlu sentiasa bersikap positif dalam hidup,” katanya.