PUTRAJAYA: Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di sini, berpotensi besar untuk diketengahkan sebagai destinasi dan pusat perkahwinan terkemuka pada masa depan.
Itu antara hasrat dan manifesto ditawarkan calon Pejuang P125 Putrajaya, Datuk Rosli Ramli jika diberi mandat sebagai Ahli Parlimen Putrajaya kelak.
Rosli berkata, bagi memastikan ia dapat dilaksanakan, kadar sewaan dewan perkahwinan di Putrajaya perlu diturunkan bagi menarik lebih ramai bakal pengantin untuk mengabadikan kenangan di sini.
Beliau berkata, ketika ini, Putrajaya mempunyai banyak dewan perkahwinan, namun kadar sewaannya agak tinggi dan mencecah puluhan ribu ringgit.
“Jika kadar sewaan dapat dikurangkan maka tidak mustahil, penduduk sekitar termasuk dari Bangi, Kajang dan Serdang akan memilih Putrajaya bagi majlis perkahwinan mereka.
“Lagipun, Putrajaya juga banyak tempat menarik untuk sesi fotografi perkahwinan outdoor dan ia akan menjadi satu tarikan utama nanti,” katanya ketika ditemui hari ini.
Selain itu, katanya, ia juga secara tidak langsung dapat membantu menjana industri lain termasuk perhotelan, makanan dan minuman serta produk pelancongan lain sekali gus mencadangkan kadar sewaan dewan perkahwinan dapat dikurangkan kepada 20 hingga 30 peratus.
Dalam pada itu, Rosli berkata, usaha mengurangkan kadar sewaan dewan perkahwinan itu adalah antara lapan manifesto #YangBekerja dibawa Pejuang kepada pengundi di Putrajaya ini.
Katanya, manifesto lain termasuk meningkatkan keupayaan lalu lintas menerusi sistem lampu isyarat dengan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan menyelaras kenaikan gaji penjawat awam.
“Selain itu, kami juga akan menambah peruntukan bajet bagi penyelenggaraan kuarters kerajaan serta menambah pusat transisi sekolah pagi dan petang bagi kanak-kanak sekolah.
“Kami juga akan mewujudkan Pusat Makanan Tradisional Malaysia, membangunkan perpustakaan Tamadun Bangsa dan menyelesaikan isu tempat letak kenderaan serta menambah baik sistem pengangkutan awam,” katanya. – UTUSAN