KUALA LUMPUR: Pengundi di Pusat Pengundian Padang Bola Sepak Kampung Pasir Baru kecewa kerana hanya mempunyai satu laluan dan tidak disediakan laluan untuk warga emas serta mereka yang sudah selesai mengundi.
Ajis Isa, 58, berkata, walaupun sudah berkali-kali pilihan raya umum diadakan, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) masih gagal untuk melancarkan proses tersebut.
“Apa benda ini semua? Sudah berapa kali pilihan raya diadakan? Hanya ada satu laluan untuk beratur sedangkan mana laluan untuk warga emas terutama bagi yang berkerusi roda?
“Rakyat datang menjalankan tanggungjawab jadi sepatutnya sediakan laluan yang mencukupi. Pusat ini dibina atas padang bola dan pagi tadi hujan maka kami haruslah memijak lecak,” katanya.
Sementara itu di Pusat Pengundian PPR Kerinchi, warga emas mendakwa mereka tidak disediakan kaunter khas dan sudah beratur di bawah panas terik sejak pukul 8 pagi.
Menurut Varsudevan, 65, warga emas dibiarkan di bawah panas dan sudah beberapa individu pitam kerana beratur panjang.
“Keadaan sangat tidak teratur, pada mulanya ada empat barisan namun kemudian semua barisan digabung menjadi satu.
“Tadi dah ada beberapa orang pitam. Mengapa tidak diuruskan dengan baik? Tidak cukup untuk menampung jumlah pengundi di kawasan ini oleh beberapa pengundi yang masih beratur.
Pada pukul 11,30 pagi, kelihatan petugas SPR meletakkan tanda label pada kaunter-kaunter itu sedangkan pengundian bermula pukul 8 pagi. – UTUSAN