Pusat niaga Neocyber terabai 20 tahun 

Pusat niaga Neocyber terabai 20 tahun 

ANUAR Basiran (berdiri tengah) menerima memorandum penduduk pada sesi ramah mesra komuniti Neocyber di Cyberjaya, Sepang, Selangor. - UTUSAN/AMREE AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CYBERJAYA: Meskipun dianggap seumpama ‘downtown’ atau pusat tumpuan di Cyberjaya hampir 20 tahun lalu, namun kini keadaan Neocyber semakin tidak terurus malahan diabaikan. 

Justeru, calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Sepang, Anuar Basiran berikrar membantu untuk menghidupkan balik kawasan itu yang dipinggirkan kerajaan Selangor. 

“Insya-Allah, jika menang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), nasib para peniaga di sini akan dibela BN sebaik mungkin kerana saya sedih melihat situasi sekarang kian teruk,” katanya ketika menemui komuniti Neocyber di pusat bandar siber itu di sini malam tadi.

Kawasan tersebut yang berkeluasan hampir 10 hektar itu mula dibuka pada 2006 lalu dengan mengandungi 205 unit kedai pejabat, 992 unit apartmen dan juga dua blok menara pejabat.

Lokasi itu terletak strategik hanya 1.5 kilometer dari terminal bas utama dan 3.3 kilometer dari Hospital Cyberjaya selain menjadi hab aneka makanan popular untuk penduduk sekitarnya.

Bagaimanapun, ramai peniaga di situ mendakwa kebajikan mereka tidak dipedulikan pihak berkuasa tempatan dan banyak kemudahan awam termasuklah lampu jalan rosak tidak diganti.

Keadaan diburukkan lagi dengan tindakan pemaju hartanah Neocyber yang mengenakan caj parkir kereta sebanyak RM150 bagi satu petak setiap bulan bermula awal bulan ini.

“Saya berasa kesal apabila dimaklumkan mengenai isu ini dan difahamkan ada peniaga yang ramai staf tidak mampu bayar dan terpaksa tutup kedai sebab kos operasi tinggi,” jelasnya.

Anuar turut berjanji akan cuba menolong untuk membangkitkan isu berkenaan kepada Majlis Perbandaran Sepang kerana bersimpati dengan nasib para peniaga tidak dilayan oleh pemaju.

Menyentuh situasi di Cyberjaya, walaupun hanya ada kira-kira 2,356 pengundi yang berdaftar, suara mereka ujar beliau tetap penting kerana dianggap mewakili lebih 150,000 penduduknya.

Terbaharu katanya, kerajaan membuka Klinik Kesihatan Cyberjaya pada minggu lalu ekoran isu kesesakan di Klinik Kesihatan Dengkil yang terletak 16 kilometer dari bandar ini sekali gus membuktikan keprihatinan BN meringankan beban golongan berpendapatan B40 yang tidak mampu mendapatkan rawatan pesakit luar di klinik swasta.

Pada masa sama, beliau cakna dengan permasalahan penduduk yang sering mengadu ada banyak kes gangguan anjing liar, lampu jalan tidak menyala dan kurang pengangkutan awam selain isu hanya ada satu sekolah kebangsaan di Cyberjaya yang semakin padat dan uzur. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya