Pulau Pinang bentang Bajet 2023 defisit sebanyak RM467.12j - Utusan Malaysia

Pulau Pinang bentang Bajet 2023 defisit sebanyak RM467.12j

CHOW KON YEOW (tengah) selepas selesai membentangkan Bajet 2023 di Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang di George Town hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Kerajaan Negeri Pulau Pinang hari ini membentangkan Bajet 2023 dengan defisit sebanyak RM467.12 juta.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, jangkaan defisit itu bertambah sebanyak RM17.32 juta berbanding tahun 2022 yang berjumlah RM449.80 juta.

”Mengambil kira jangkaan hasil tahun 2023 berjumlah RM522.35 juta berbanding perbelanjaan mengurus sebanyak RM989.47 juta, ia akan menjadikan Bajet 2023 mengalami defisit sebanyak RM467.12 juta.

”Namun, mengambil kira janji kerajaan negeri yang akan sentiasa berusaha dan berikhtiar untuk melonjakkan pembangunan negeri di samping memastikan kesejahteraan rakyat sentiasa dipelihara, maka bajet berdefisit perlu dilaksanakan,” katanya ketika membentangkan Bajet 2023 Negeri Pulau Pinang dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini hari ini.

Kon Yeow (DAP-Padang Kota) berkata, anggaran defisit atau kekurangan RM467.12 juta dalam Bajet 2023 itu akan dibiayai daripada Simpanan Terkumpul Negeri yang berbaki sebanyak RM848.82 juta pada akhir tahun 2021.

Jelas beliau, jumlah keseluruhan rizab kerajaan negeri setakat akhir tahun 2021 pula adalah sebanyak RM2.117 bilion termasuk Akaun Amanah Disatukan.

Tambahnya, perbelanjaan mengurus yang dicadangkan bagi tahun 2023 sejumlah RM989.47 juta merupakan peningkatan sebanyak RM54.25 juta berbanding tahun 2022.

Sementara itu katanya, bagi menghargai sumbangan penjawat awam dan meningkatkan semangat mereka untuk terus berkhidmat dengan cemerlang, kerajaan negeri meluluskan bayaran Bantuan Khas Kewangan (BKK) pada akhir tahun bersamaan setengah bulan gaji atau minimum RM1,200.

“Bayaran BKK ini melibatkan 3,920 penjawat awam negeri dengan implikasi kewangan berjumlah RM6.13 juta. Semua pembayaran BKK dan geran ini akan dibuat pada Disember ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya