GEORGE TOWN: Parti Warisan Pulau Pinang mengakui turun sebagai parti ‘underdog’ (bukan pilihan) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) berbanding gabungan parti-parti lain di negeri ini.
Bagaimanapun, Koordinator Warisan Pulau Pinang, Jeff Ooi Chuan Aun berkata, empat calon parti itu tetap memberi saingan hebat kepada calon-calon parti lain di kerusi yang ditandingi mereka.
”Kita akui kita ‘underdog’ di Pulau Pinang kerana masih baharu di sini, namun sepanjang kempen bertemu dengan masyarakat, kita dapati sambutan amat baik.
“Menerusi analisa yang dijalankan juga, mood pengundi di Pulau Pinang masih sukar dijangka, pengundi Cina teragak-agak untuk mengundi, undi Melayu berpecah tiga, manakala pengundi India masih berdiam diri,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat Warisan Pulau Pinang, di sini hari ini.
Warisan Pulau Pinang meletakkan empat calon di Pulau Pinang iaitu Jeff Ooi di Parlimen Bayan Baru; Ong Chin Wen (Batu Kawan); Martin Lim (Jelutong) dan Akmal Azhar (Tasek Gelugor).
Menurut Jeff Ooi, Parti Warisan Pulau Pinang menawarkan pilihan baharu kepada pengundi pada PRU15 yang mahukan politik negara kembali stabil selepas berdepan dengan ketidaktentuan selepas PRU14.
”Selama kira-kira empat tahun lalu, kita dapat melihat betapa huru-haranya politik negara dengan pertadbiran daripada pimpinan parti yang bersilih ganti.
”Namun, kesemua pemimpin daripada gabungan parti-parti besar ini tetap gagal membawa kestabilan politik malah ekonomi negara terus merudum,” katanya.
Dalam pada itu tambahnya, beliau juga tidak menolak kemungkinan parti Warisan akan menjadi ‘kingmaker’ (penentu) dalam pilihan raya kali ini sekiranya berjaya meraih undi daripada para pengundi di Sabah dan Sarawak.
”Di Semenanjung parti kita mungkin masih kurang dikenali, namun di Sabah dan Sarawak kita bertanding di lebih 50 kerusi dan mempunyai pengaruh yang kuat di blok Borneo.
”Jadi, tidak mustahil parti Warisan akan menjadi ‘kingmaker’ dalam penentuan siapa yang bakal mendapat mandat membentuk kerajaan di Putrajaya nanti,” katanya. – UTUSAN