MACHANG: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub ‘digasak’ tiga calon dalam usaha mempertahan kerusi Parlimen Machang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti.
Tiga calon iaitu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal daripada Perikatan Nasional (PN); Dr. Rosli Allani S. Abdull Khadir (Pakatan Harapan) dan Mejar (B) Muhamad Seman (Gerakan Tanah Air) akan memberi saingan kepada Ahmad Jazlan pada pilihan raya kali ini.
Pengumuman itu dibuat Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Machang, Nik Muhammad Hasanudin Nik Husin di Pusat Penamaan Calon (PPC), Bilik Gerakan Pejabat Tanah dan Jajahan Machang kira-kira pukul 11.20 pagi.
Nik Muhammad Hasanudin berkata, beliau berpuas hati dengan kesemua kertas pencalonan dan tiada calon yang ditolak pencalonannya.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-14, kerusi Parlimen Machang dimenangi Ahmad Jazlan dengan majoriti 2,824 undi menewaskan calon Pas, Zulkifli Mamat dan Pakatan Harapan, Datuk Sazmi Miah. – UTUSAN