KOTA BHARU: Isu agihan sumbangan oleh kerajaan Terengganu menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak berbangkit apabila peruntukan itu telah diluluskan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) sebelum ini.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, perkara yang dibangkitkan oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Ahmad Said itu tidak menjadi isu.
“Saya rasa semasa bajet negeri Terengganu dibentangkan, beliau (Ahmad) tidur agaknya. Sebenarnya peruntukan bantuan itu telah disebutkan oleh Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar semasa pembentangan bajet kerajaan negeri.
“Ia telah dibahaskan dan diluluskan di peringkat Dewan negeri. DUN Terengganu tidak bubar dan kerajaan negeri boleh melaksanakan apa yang telah diluluskan. Jadi sebenarnya tiada isu,” Katanya kepada pemberita selepas Ceramah Mega Kubang Kerian Sejahtera di Pasir Tumbuh, di sini malam tadi.
Calon Pas di Parlimen Kubang Kerian itu memberitahu, perkara itu tidak sepatutnya dibangkitkan kerana Ahmad sendiri berada di dalam Dewan negeri ketika bajet berkenaan dibentangkan malah turut sama membahaskannya.
“Dia kata ini politik wang sedangkan ia sudah diluluskan. Bila diluluskan kerajaan negeri tunggu peruntukan perbelanjaan diluluskan dan apabila diluluskan maka kerajaan negeri belanjakanlah mengikut peruntukan diluluskan.
“Jadi tidak timbul sebarang isu sebenarnya. Cuma mungkin beliau gelabah sedikit sebab dan dekat sangat dengan tarikh PRU15,” ujarnya.
Utusan Malaysia pada 16 November lalu melaporkan Ahmad mendakwa Pas melakukan kesalahan rasuah apabila mengagihkan bantuan dalam bentuk wang tunai kepada golongan tertentu menjelang PRU15.
Beliau berkata, peruntukan bantuan-bantuan yang dikenali sebagai i-Belia, i-OKU, i-Mahasiswa, i-Pencen dan i-Fitri tidak terdapat dalam bajet Kerajaan Negeri Terengganu lepas.
Dalam perkembangan lain, Tuan Ibrahim yang juga calon Parlimen Kubang Kerian dan DUN Cheka memaklumkan momentum sokongan kepada Perikatan Nasional (PN) ketika ini sangat baik tetapi semua pihak perlu berhati-hati menuju detik-detik akhir tempoh kempen PRU15.
Katanya, dua atau tiga hari terakhir menjelang hari pengundian adalah masa yang sangat kritikal kerana bermacam-macam strategi akan dibuat oleh semua parti bertanding dan fitnah akan berleluasa.
“Bermacam-macam cerita tidak benar akan mula ditimbulkan pada hari-hari terakhir kempen. Jadi pesanan saya kepada pengundi adalah agar mereka dapat memahami situasi itu dan tidak terjebak dengan fitnah yang cuba diwujudkan.
“Insya-Allah masing-masing sudah tahu siapa hendak dipilih. Sebenarnya hanya 29 peratus pengundi-pengundi Melayu khususnya di bandar belum membuat keputusan dan saya yakin graf itu akan menurun apabila semakin hampir kepada tarikh mengundi,” ujarnya. – UTUSAN