PRU15: Teruja nak mengundi hingga tidak boleh tidur

PRU15: Teruja nak mengundi hingga tidak boleh tidur

MUSHAR Nasipin (tengah) bersama isteri, Zainab Che Lop (kanan) dan anak mereka, Khairul Nizam selepas mengundi di SK Sungai Bayor, Rantau Panjang, Selama hari ini. - FOTO/ASLIZA MUSA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LARUT: Biarpun terpaksa menggunakan kerusi roda, Mushar Nasipin, 62, tetap teruja dan bersemangat untuk keluar mengundi bagi menunaikan tanggungjawab pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) hari ini.

Dibantu oleh anak dan isteri, lelaki itu antara orang terawal yang tiba di pusat pengundian di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Bayor di Rantau Panjang, Selama.

Mushar berkata, dia tidak sabar untuk mengundi hari ini sehinggakan tidak tidur sejak semalam.

“Ini kali pertama saya mengundi di sini, sebelum ini di Kuala Lumpur kerana menetap di sana.

“Saya betul-betul teruja hinggakan sukar lelapkan mata. Yang peliknya tidak rasa mengantuk, malah lebih bersemangat,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Menurutnya, walaupun menghadapi kesukaran untuk bergerak ekoran kaki dipotong akibat penyakit kencing manis, itu tidak akan dijadikan alasan untuknya ‘selesa’ berada di rumah.

Katanya, sebagai rakyat Malaysia adalah menjadi kewajipan untuknya sama-sama memilih wakil rakyat bagi memimpin negara.

“Hanya lima tahun sekali, takkan sehari pun tidak boleh datang. Lainlah kalau hujan lebat, banjir ke, itu kita fahamlah.

“Undi terpulang kepada kita, pilihlah sendiri siapa pun. Tak ada orang boleh marah sebab undi adalah rahsia,” katanya.

Sementara itu, seorang pengundi muda, Nur Adli Mohammed Korde, 21, dari Kampung Ulu Damak, Sungai Bayor berkata, dia lega apabila selesai menunaikan tanggungjawab meskipun ia merupakan kali pertama.

“Emak dan ayah yang kerap ingatkan saya untuk mengundi tapi mereka tidak pengaruh saya untuk undi parti mana. Semuanya atas pilihan saya sendiri,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya