PADANG BESAR: Dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), Izizam Ibrahim pernah bertembung Datuk Zahidi Zainul Abidin (Tok Di) di Parlimen Besar namun hanya tewas tipis sekitar lebih 1,000 undi di kubu kuat Barisan Nasional (BN) itu.
Dalam PRU15, Izizam yang juga Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Padang Besar diketengahkan sebagai calon Perikatan Nasional (BN) di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Titi Tinggi dan sekali lagi bakal berdepan Zahidi yang kali ini bertanding atas tiket Bebas.
Seloroh Izizam, Zahidi berkemungkinan meminatinya kerana selain Parlimen Padang Besar, Zahidi turut bertanding di Titi Tinggi.
“Saya ingat Tok Di (Zahidi) ini dia minat saya kot, saya pergi (DUN) Titi Tinggi dia pun ikut sama. Saya ada berjumpa beliau di dalam dewan semasa proses penamaan calon semalam dan minta beri peluang PN berkhidmat kali ini. Dia cakap nak meriahkan pilihan raya sahaja,” katanya di sini hari ini.
Titi Tinggi bakal menyaksikan pertembungan enam penjuru membabitkan Izizam; Zahidi (Bebas); Khaw Hock Kong (Warisan); Teh Seng Chuan (PH); Mohd. Shahril Md Sarif (Pejuang) dan Teh Chai Aan (BN) yang juga penyandang.
Dalam pada itu, Izizam yakin PN mempunyai peluang cerah menang di kerusi DUN Titi Tinggi.
Katanya, keyakinan tersebut berdasarkan perkhidmatan dan kerja-kerja mendekati rakyat di kawasan berkenaan dan Padang Besar secaranya keseluruhannya sejak dahulu.
“Saya seorang aktivis masyarakat dan memiliki pertubuhan badan bukan kerajaan sendiri bagi membantu golongan asnaf dan anak yatim dan tidak pernah berhenti berkhidmat,” katanya.
Tambah Izizam, beliau secara peribadi tidak menawarkan janji manis namun akan memfokuskan pembangunan pelancongan di kawasan Titi Tinggi agar dapat meningkatkan peluang pekerjaan serta ekonomi penduduk setempat.
Selain itu, katanya, beberapa perkara lain harus diberi perhatian seperti isu pemilikan hak milik tanah dan infrastruktur yang perlu ditambah baik. – UTUSAN