PRU15: Polis Pulau Pinang galak semua calon mohon permit 'walkabout' - Utusan Malaysia

PRU15: Polis Pulau Pinang galak semua calon mohon permit ‘walkabout’

MOHD. SHUHAILY MOHD. ZAIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Polis Pulau Pinang menggalakkan semua calon Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) di negeri itu memohon permit walaupun ketika melakukan kempen secara ‘walkabout’ (turun padang).

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, ia bertujuan mengelakkan tohmahan oleh mana-mana pihak kepada pihak lain sepanjang kempen PRU15 berlangsung.

“Secara khususnya memang ‘walkabout’ tidak perlukan permit, tapi apabila calon tiba-tiba berhenti dan berucap, dalam konteks ini ia adalah berceramah.

“Jadi kita menggalakkan lebih baik semua calon memohon permit supaya tidak berlaku tohmahan, lagipun sekarang orang merakam (gunakan kamera), kalau apa-apa berlaku boleh beritahu mereka ada permit,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di sini hari ini.

Semalam, DAP meminta polis Perak menilai semula peraturan yang dikenakan kepada semua calon di negeri itu supaya mendapatkan permit terlebih dahulu sebelum mengadakan program ‘walkabout’.

Ia susulan polis Perak menetapkan calon atau ejen untuk mendapatkan permit daripada Ketua Polis Daerah sebelum program ‘walkabout’ dijalankan di negeri itu.

Dalam perkembangan sama, Mohd. Shuhaily berkata, perjalanan kempen PRU15 di negeri itu juga lancar dan setakat semalam, polis mengeluarkan sebanyak 210 permit kepada semua parti politik yang bertanding.

Selain itu kata beliau, polis menahan seorang lelaki berusia 31 tahun kerana disyaki memukul seorang lelaki serta merosakkan bendera parti politik di Kampung Main Road, Perai dekat sini, Rabu lalu.

Jelasnya, laporan berhubung kejadian itu diterima daripada seorang lelaki berusia 38 tahun yang bekerja sebagai penghantar gas yang mana mangsa memaklumkan diserang tiga lelaki serta dipukul menggunakan topi keledar.

“Mangsa memaklumkan suspek yang dikenalinya datang ke rumahnya di Kampung Main Road, pukul 4 pagi.

“Suspek memarahinya lalu memukul mangsa menggunakan topi keledar kerana tidak berpuas hati dengan tindakan lelaki tersebut yang memasang bendera di kawasan berkenaan,” katanya.

Tambah beliau, lelaki itu kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan polis sedang mengesan dua lagi suspek berusia lingkungan 30-an bagi membantu siasatan kes tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN