KOTA BHARU: Polis akan membuat pemantauan terhadap golongan ‘budak nakal’ sepanjang tempoh berkempen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini.
Budak nakal merujuk kepada tindakan mengalihkan bendera parti-parti politik yang telah dipasang oleh petugas.
Ketua Polis negeri, Datuk Muhamad Zaki Harun mengesahkan beberapa kejadian melibatkan perkara berkenaan telah berlaku sejak Parlimen dibubarkan.
“Namun kes itu tidak serius, tetapi pada masa sama kita akan mengambil perhatian kepada golongan ini supaya tidak menimbulkan sebarang kekecohan dengan bertindak sedemikian bagi membendungnya.
“Tidak dinafikan dalam keghairahan PRU15 ini, kemungkinan ada kalangan ‘budak nakal’ yang akan dipergunakan untuk berbuat demikian,” katanya pada sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPK) Kelantan di sini hari ini.
Muhamad Zaki memberitahu, polis meminta kerjasama masyarakat setempat yang melihat kejadian itu supaya melaporkan segera perkara tersebut.
“Namun, menerusi Op Cantas kita (polis) akan membuat rondaan dan pemantauan bagi mengambil tindakan segera terhadap golongan tersebut jika dikesan berbuat demikian,” jelasnya. – UTUSAN