PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) setakat ini membuka lapan kertas siasatan melibatkan pelbagai kesalahan ketika musim Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Pengarah Op PRU15 Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Seri Hazani Ghazali berkata, setakat semalam, dua kes berlaku di Selangor iaitu membabitkan siasatan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan (KK) atau Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKMM) 1998; Seksyen 447 KK dan Seksyen 143 (1) Peraturan Penerbangan-Penerbangan Awam (PPPA) 2016.
Katanya, dua turut disiasat di Sarawak melibatkan kesalahan di bawah Seksyen 143 PPPA 2016.
“Satu kes masing-masing di Pahang, Pulau Pinang, Sabah dan Kelantan.
“Siasatan dilakukan Seksyen 24 (B) (10) Akta Pilihan Raya 1964, Seksyen 506 KK dan Seksyen 500 KK atau Seksyen 233 AKMM 1998,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Hazani berkata, pihaknya turut melakukan empat tangkapan di Selangor dan Sarawak.
Ujar beliau, pihaknya mengesan 19 ceramah tanpa permit iaitu di Selangor (11); Perak (5); Terengganu (2) dan satu di Pahang.
“Kita juga mengeluarkan 289 permit ceramah di seluruh negara iaitu paling banyak di Perak (52) diikuti Johor (47) serta Selangor (32),” ujarnya. – UTUSAN