KLANG- Perikatan Nasional (PN) yakin gabungan pritu itu boleh menang di Perlis pada Piliham Raya Umum ke-15 (PRU15).
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, keyakinan itu dilihat berdasarkan penampilan calon yang dibariskan komponen parti itu pada kali ini apatah lagi dengan penyertaan Datuk Seri Shahidan Kasim yang bertanding untuk mewakili PN.
“Apapun, kita perlu berdoa serta bekerja kuat untuk memastikan kemenangan ini dapat direalisasikan,” katanya ketika berucap dalam majlis Sarapan Bersama Rakyat di sebuah warung di Kampung Bukit Kapar di sini, hari ini.
Pada pilihan raya umum kali ini, PN bertanding di semua kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri itu, iaitu tiga kerusi Parlimen dan 15 kerusi DUN.
Sementara itu, Abdul Hadi berharap majoriti rakyat Malaysia dapat mengundi calon PN di seluruh negara, supaya pakatan itu dapat mentadbir Kerajaan Pusat.
Ujarnya, meskipun PN menjadi kerajaan hanya kira-kira dua tahun, ia mampu menguruskan negara dengan baik, namun tempoh tersebut tidak mencukupi untuk mereka melakukan lebih banyak perkara baik untuk rakyat.
“Jadi, berilah peluang sekali lagi kepada PN supaya kami boleh berkhidmat lebih baik untuk anda.
“Pentadbiran tanpa rasuah di Kerajaan Kelantan, Terengganu dan Kelantan adalah bukti bahawa PN mampu memacu negara ke arah yang lebih baik,” tegasnya. – UTUSAN