BERA: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang merupakan calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Bera selesai mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Kerayong di sini pukul 10.28 pagi ini.
Turut sama di saluran kedua itu, isterinya, Datin Seri Muhaini Zainal Abidin.
Ismail Sabri tiba di pusat pengundian di SMK Bandar Kerayong pada pukul 9.20 pagi dengan diiringi Muhaini serta anak dan menantunya.
Beliau yang mengundi di saluran dua kemudiannya bersalaman dengan orang ramai yang hadir untuk mengundi.
Selepas bersalaman dengan orang ramai beliau kemudiannya kembali beratur seperti pengundi-pengundi lain.
Ismail Sabri mempertahan kerusi Parlimen Bera dalam pertandingan tiga penjuru dengan wakil Perikatan Nasional (PN), Datuk Asmawi Harun dan calon Pakatan Harapan (PH), Abas Awang. – UTUSAN