PERMATANG PAUH: Pakatan Harapan (PH) kekal dengan pendirian untuk tidak bekerjasama dengan mana-mana gabungan parti lain bagi membentuk kerajaan meskipun sekiranya gagal mendapat majoriti dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau kekal dengan keputusannya berhubung perkara itu seperti mana yang disuarakan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook dan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu.
“Kami bertiga berjuang untuk memastikan kemenangan berpihak kepada kita,” katanya ketika ditemui selepas mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Penanti di sini hari ini.
Anwar yang juga calon kerusi Parlimen Tambun turut berharap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) terus melaksanakan tugas secara profesional.
“Saya harap SPR dapat jalankan tugas dengan baik, namun ada kebimbangan.
“Takut kadang-kadang keputusan memihak kepada (PH) akan dilewatkan, tetapi saya percaya berdasarkan prestasi SPR setakat ini, kita mengharapkan mereka terus telus,” katanya. – UTUSAN