PERMATANG PAUH: Proses pengundian di beberapa buah Pusat Daerah Mengundi (PDM) bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) di sekitar negeri ini yang dibuka bermula pukul 8 pagi tadi berjalan lancar.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, kebanyakan pengundi mengambil kesempatan keluar mengundi awal malah ada yang sudah beratur sebelum PDM dibuka bagi mengelakkan kesesakan.
Golongan warga emas dan orang kurang upaya (OKU) yang dibantu petugas SPR ke saluran yang ditetapkan turut memudahkan proses pengundian.
Seorang warga emas, Salmiah Mohd. Taib, 80, berkata, dia sudah lebih 10 kali menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi dan tidak mahu terlepas peluang mengundi sekali lagi kali ini.
“Tak ingat dah berapa kali saya mengundi, tetapi memang setiap kali PRU saya pasti akan tunaikan tanggungjawab,” katanya ketika ditemui di Sekolah Kebangsaan Seri Penanti di sini hari ini.
PRU15 diadakan susulan pembubaran Parlimen pada 10 November oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan SPR menetapkan tarikh penamaan calon pada 5 November serta hari mengundi awal, 15 November lalu manakala hari ini melibatkan 21,173,638 pengundi. – UTUSAN