KUALA TERENGGANU: Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) akan menggunakan saluran media sosial untuk menarik sokongan pengundi terutama golongan muda pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti.
Ketua Pejuang Terengganu, Datuk Ir. Wan Nazari Wan Jusoh berkata, langkah itu diambil setelah mengenal pasti hampir 60 peratus pengundi di negeri ini merupakan golongan yang aktif di medium tersebut.
Menurut calon Pejuang di Parlimen Besut itu, hanya dengan cara itu, Gerakan Tanah Air (GTA) dapat mencabar dominasi parti utama, Pas dan Barisan Nasional (BN).
“Hasil daripada analisis kami pengundi berusia 40 tahun ke atas lebih cenderung menggunakan platform Facebook manakala golongan bawah 40 tahun cukup aktif di Twitter.
“Di Terengganu khasnya kami faham rakyat ‘terikat’ dengan hanya dua parti dominan iaitu biru (BN) dan hijau (Pas) sahaja, jadi cabaran getir menanti kami untuk bersaing.
“Namun begitu golongan muda ini perlu menerima mesej sebenarnya ada parti lain iaitu GTA yang boleh menyelamatkan masa depan mereka dan negara Malaysia.
“Lapan calon yang dipertaruhkan GTA kali ini juga memiliki latar belakang profesional. Jadi golongan muda yang boleh berfikir ini akan menentukan keputusan pengundian nanti,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Wan Nazari menambah, penyertaan GTA pada PRU15 di negeri Terengganu merupakan antara langkah parti itu untuk membentuk majoriti sekaligus dapat mentadbir kerajaan persekutuan.
Beliau berkata, kerajaan BN, Pakatan Harapan (PH), dan Perikatan Nasional (PN) sebelum ini dilihat gagal menangani masalah peningkatan kos sara hidup dalam kalangan rakyat.
“Apabila Tun (Dr. Mahathir Mohamad) menubuhkan GTA, kami buka peluang kepada semua orang yang ingin bersama dan hasilnya, kami akan bertanding di 120 kerusi Parlimen,” katanya. – UTUSAN