PRU15: Pasangan kembar antara terawal mengundi di Tanjong Karang - Utusan Malaysia

PRU15: Pasangan kembar antara terawal mengundi di Tanjong Karang

NOR SAaffa Syawani Mohd. Fauzi (kanan), Nurul Najwa (tengah) dan Nor Saffa Syazana menunjukkan jari tanda mengundi di SK Parit 4, Tanjong Karang Kuala Selangor, Selangor. - UTUSAN/ ISKANDAR SHAH MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Tiga beradik termasuk pasangan kembar antara pengundi terawal menunaikan tanggungjawab mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Parit 4,  Tanjong Karang di sini hari ini.

Mereka iaitu Nor Saffa Syawani Mohd. Fauzi dan Nor Saffa Syazana berusia 26 tahun serta Nurul Najwa, 18, yang kali pertama mengundi.

Menurut Nor Saffa yang juga suri rumah, dia sekeluarga beratur di pusat pengundian itu seawal pukul 8 pagi.

“Kami semua berkumpul di kampung halaman di Kampung Tali Air Tiga sejak semalam untuk mengundi bersama. Alhamdulilah semuanya berjalan lancar dan saya mengharapkan pilihan kami tepat bagi kemakmuran Parlimen Tanjong Karang,” katanya ketika ditemui di pekarangan sekolah itu.

Sementara itu, Nurul Najwa yang juga lepasan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Burong mengakui debaran julung kali mengundi.

“Ia pengalaman amat bermakna bagi saya dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia. Undian saya adalah kepada bakal wakil rakyat yang bertanggungjawab dan dapat menunaikan janji terutama kepada belia,” jelasnya.

Kerusi Parlimen Tanjong Karang yang menjadi kubu kuat Barisan Nasional (BN) di Selangor menyaksikan pertembungan lima penjuru pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Ketua Wanita UMNO Tanjong Karang, Datuk Habibah Mohd. Yusof dicabar Datuk Dr. Zulkapferi Hanafi daripada Perikatan Nasional (PN) dan Siti Rahayu Baharin yang mewakili Pakatan Harapan (PH).

Kerusi itu turut ditandingi Azlan Sani Zawawi atau dikenali sebagai Lando daripada Gerakan Tanah Air (GTA) dan pesara kerajaan yang bertanding sebagai calon Bebas, Mohd. Rosni Mastol. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya