PILIHAN Raya Umum Ke-15 (PRU15) mencatat sejarah apabila merekodkan 945 calon bertanding merebut 222 kerusi Parlimen di seluruh negara, iaitu teramai dalam sejarah pilihan raya umum.
Ia sekali gus menyaksikan pertembungan banyak penjuru di beberapa kawasan. Paling mencuri tumpuan ialah kerusi Parlimen Batu yang melibatkan saingan 10 penjuru, rekod calon teramai setakat ini.
Kejutan juga berlaku di Parlimen Ampang apabila melibatkan pertembungan sembilan penjuru selain saingan lapan penjuru di tiga kerusi Parlimen iaitu di Sepang, Bangi dan Kota Raja manakala tujuh penjuru di lima kerusi Parlimen.
Pertembungan enam penjuru berlaku di 24 kerusi Parlimen manakala 43 Parlimen menyaksikan pertandingan lima penjuru dan empat penjuru (82), tiga penjuru (54) dan saingan satu lawan satu pula melibatkan sembilan kerusi.
Berdasarkan jumlah calon kerusi Parlimen, Pakatan Harapan (PH) mempertaruh calon teramai iaitu 206 orang, Barisan Nasional (BN) seramai 178 calon, Perikatan Nasional (PN) seramai 149 calon, Pejuang (116) dan Warisan (52).
PRU15 juga menyaksikan 108 calon Bebas bertanding sekaligus teramai dalam sejarah pilihan raya umum negara. Pada PRU13 dan PRU14 lalu masing-masing merekodkan 79 dan 24 calon Bebas kerusi Parlimen.
PARLIMEN BATU (113,863 pengundi)
Semua mata tertumpu kepada kerusi Parlimen Batu pada hari penamaan calon, 5 November lalu. Ini kerana tanpa disangka-sangka berlaku pertembungan 10 penjuru sekali gus mencatat sejarah baharu pilihan raya umum di Malaysia.
Penyandang, calon Bebas yang disokong PKR, P. Prabakaran dengan majoriti 24,438 undi, kali ini diberi kepercayaan mempertahan kerusi itu atas tiket PH dan dilihat akan berdepan tugas sukar.
Beliau akan ditentang bekas Timbalan Menteri Luar, Datuk A. Kohilan Pillay (BN); Azhar Yahya (PN) dan peguam, Wan Azliana Wan Adnan (Pejuang).
Lebih menarik, ia juga menyaksikan kemunculan semula bekas Ahli Parlimen Batu, Tian Chua yang bertanding atas tiket Bebas selain P. Naganathan (Warisan) dan Mohd. Zulkifli Abdul Fattah dari Parti Rakyat Malaysia (PRM).
Tiga lagi calon Bebas yang cuba nasib ialah peguam Siti Zabedah Kasim atau lebih popular dengan gelaran Siti Kasim; pempengaruh media sosial, Nur Fathiah Syazwan Shaharudin atau lebih dikenali sebagai Cleopatra dan Too Cheng Huat.
Atas kertas, Prabakaran dilihat mempunyai sedikit kelebihan. Namun, kemunculan semula Tian Chua dan pertembungan banyak penjuru yang menyebabkan perpecahan undi, menjadikan saingan di Parlimen Batu sedikit terbuka.
PARLIMEN AMPANG (133,494 pengundi)
Kerusi Parlimen Ampang yang disandang Datuk Zuraida Kamaruddin sejak 2008 juga menyaksikan persaingan sengit sembilan penjuru.
Pilihan raya kali ini sedikit berbeza bagi Zuraida yang memenangi kerusi itu atas tiket PKR pada PRU14 apabila beliau akan mempertahan kerusi disandangnya atas tiket Parti Bangsa Malaysia (PBM).
Beliau akan dicabar Ketua Beliawanis MCA, Ivone Low Yi Wen (BN); Rodziah Ismail (PH); Sasha Lyna Abdul Latif (PN) dan Nurul Ashikin Mabahwi (Pejuang).
Turut bertanding ialah Lai Wai Chong (Warisan) dan tiga calon Bebas, Muhammad Shafiq Izwan Mohd. Yunos, Tan Hua Meng dan M. Raveendran.
PRU15 juga menjadi ‘gelanggang’ pertama buat Muhammad Shafiq Izwan yang bertanding Bebas dengan menggunakan simbol jam manakala Hua Meng sebelum ini pernah menjadi calon PRU14 atas tiket PRM.
Seramai 133,494 pengundi berdaftar layak mengundi di Parlimen Ampang iaitu 133,148 pengundi biasa, 305 anggota polis dan pasangan serta 41 pengundi tidak hadir luar negara.
PARLIMEN SEPANG (167,988 pengundi)
Saingan lapan penjuru di Parlimen Sepang menyaksikan pertembungan tiga Ketua Wanita iaitu Ketua Wanita PN, Datuk Seri Rina Mohd. Harun; Ketua Wanita GTA, Datin Che Asmah Ibrahim dan Ketua Wanita PH, Raj Munni Aiman Athirah.
Turut bertanding ialah calon BN, Anuar Basiran; R. Nageswaran (PRM), Mohd. Daud Leong Abdullah daripada Parti Utama Rakyat (PUR) selain dua calon Bebas, Mohd. Syahrul Amri Mat Sari dan M. Muneswaran.
Yang menarik, semua calon bertanding adalah muka baharu selepas penyandang, Mohamed Hanipa Maidin (Amanah) tidak dicalonkan oleh PH kali ini.
Parlimen Sepang mencatatkan 167,988 pengundi kali ini meliputi tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Dengkil seramai 89,704 pengundi diikuti Sungai Pelek (46,172) dan Tanjung Sepat (32,112).
Persaingan lapan penjuru di Sepang dijangka memberi kelebihan kepada calon BN walaupun bakal menentang nama besar seperti Rina dan bagi Anuar, PRU15 akan menjadi medan kebangkitan buat BN khususnya di kawasan berkenaan.
PARLIMEN BANGI (303,430 pengundi)
Kawasan ini mencatatkan pertandingan lapan penjuru melibatkan pertembungan lima parti dan juga tiga calon Bebas.
Calon bertanding ialah Annuar Salleh (Pejuang); Syahredzan Johan (PH); Datuk Hoh Hee Lee (BN); Muhammad Nazrul Hakim Md. Nazir (PN) dan Chee Chee Meng (PRM) manakala tiga calon Bebas iaitu Jamal Hisham Hashim, Suthan Mookaiah dan Muhammad Fauzi Hasim.
Kerusi ini juga menyaksikan kesemua calon baharu akan bertanding apabila penyandangnya, Dr. Ong Kian Ming dari PH tidak pertahankan kerusinya.
Dalam PRU14, Kian Ming menang dengan majoriti 68,768 dalam persaingan empat penjuru iaitu calon BN, Pas dan PRM.
Persaingan empat penjuru ketika itu menyaksikan calon Pas, Mohd. Shafie Ngah mendapat 33,789 undi; Kian Ming, 102,557 undi; calon PRM, Wan Jinn Woei, 215 (hilang deposit) dan calon BN, Liew Yuen Keong, 19,766 undi.
Dengan majoriti besar yang dimiliki PH, peluang untuk parti itu menang kali ini dilihat cerah namun, Syahredzan tetap berwaspada kerana 303,430 pengundi di kawasan itu merangkumi pelbagai kaum.
Lain pula sasaran calon PRM, Chee Meng apabila beliau tidak mahu sejarah partinya yang hilang deposit pada PRU14 berulang.
Selain Sepang dan Bangi, Parlimen Kota Raja juga menyaksikan pertembungan lapan penjuru dan Presiden Amanah, Mohamad Sabu sekali lagi akan mempertahankan kerusi yang dimenanginya pada PRU14 dengan majoriti 71,142 undi.
PARLIMEN SUNGAI BULOH (158,090 pengundi)
Kerusi panas ini menyaksikan pertembungan tujuh penjuru antara BN, PN, PH, PRM, GTA dan dua calon Bebas.
Saingan sengit di kerusi Parlimen itu melibatkan Khairy Jamaluddin (BN); Datuk R. Ramanan (PH); Mohd Ghazali Md Hamin (PN); Mohd Akmal Yusoff (GTA); Ahmad Jufliz Faiza (PRM) dan dua calon Bebas, Syed Abdul Razak Syed Long Al Sagoff dan Nurhaslinda Basri.
Pada PRU14, kerusi Parlimen ini disandang oleh R. Sivarasa (PKR) dengan majoriti 26,634 dengan daftar pemilih untuk Parlimen ini adalah 90,707.
Angka itu naik kepada 158,090 pengundi dalam PRU15 dengan 9.25 peratus pemilih adalah golongan belia berusia 18 hingga 20 tahun.
Berdasarkan ‘suhu’ kempen ketika ini, Sungai Buloh boleh diibaratkan ‘ibu’ PRU15 kerana menjadi tumpuan kerana ia melibatkan Khairy yang juga Menteri Kesihatan.
PARLIMEN SUNGAI SIPUT (72,395 pengundi)
Kawasan ini juga tidak kurang hebatnya apabila melibatkan saingan tujuh penjuru termasuk penyandangnya, S. Kesavan (PH) yang meraih majoriti 5,607 undi dalam PRU14.
Beliau akan dicabar Presiden MIC, Tan Sri S. A. Vigneswaran yang mewakili BN; Datuk Seri G Irudianathan (PN); Ahmad Fauzi Mohd Jaafar (Pejuang) dan tiga calon bebas R. Indrani, Baharudin Kamarudin dan N. Rajah.
Ini kali pertama Presiden MIC itu kembali bertanding dalam PRU selepas kali terakhir bertanding pada 2008 di Parlimen Kota Raja namun tewas kepada calon Pas ketika itu, Siti Mariah Mahmud dengan majoriti 20,751 undi.
Parlimen itu mempunyai sebanyak 72,395 pengundi berdaftar yang layak mengundi pada 19 November ini.
SABAH dan SARAWAK
PRU15 kali ini juga menyaksikan pertembungan dua hingga enam penjuru di 25 kerusi di Sabah dan dua hingga lima penjuru di 31 kerusi Parlimen di Sarawak. – UTUSAN