KEPALA BATAS: “Bagi kami tempoh lima tahun dan kami akan tunjukkan ‘nafas baharu’ di Kepala Batas.”
Itu janji yang diutarakan calon kerusi Parlimen Kepala Batas daripada Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) yang bertanding atas tiket Pakatan Harapan (PH), Muhammad Danial Abdul Majeed, 26.
Jurutera pembuatan itu berkata, pihaknya bertekad membawa perubahan di kawasan Parlimen itu termasuk membela nasib golongan petani dan nelayan selain ‘menyamaratakan’ pembangunan antara kawasan bandar dan desa.
“Alhamdulillah, saya terkejut kerana penerimaan orang ramai (pengundi) terhadap perubahan itu sangat hebat.
“Apa yang penduduk kata ialah, selama ini mereka tidak nampak perubahan itu dan akan bagi peluang kepada orang muda seperti saya. Itu kata mereka,” katanya ketika ditemui semasa berkempen di Kampung Paya Keladi Hujung, di sini semalam.
Mengulas mengenai beberapa isu kontroversi yang ‘membelenggunya’ sebelum proses penamaan calon termasuk didakwa sebagai penyokong kuat Barisan Nasional (BN) pula ujar beliau, perkara itu adalah biasa dalam politik.
“Ini politik (cara) lama. Kalau mereka tidak suka seseorang (calon) itu, mulalah mereka mencari apa sahaja kesalahannya.
“Sebab itulah, hal-hal kontroversi ini saya tak nak fokus sangat. Saya ada buat video untuk ‘reply’ (jawab kontroversi) tapi saya tak fokus sangat,” katanya yang lebih mengutamakan isu rakyat ketika ini.
Kerusi Parlimen Kepala Batas pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini menyaksikan persaingan empat penjuru dengan diketuai Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (UMNO-BN) selaku penyandang sejak dua penggal berturut-turut.
Selain itu, kerusi tersebut juga akan dicabar oleh calon PN daripada Pas, Dr. Siti Mastura Muhammad dan calon Gerakan Tanah Air (GTA), Hamidi Abu Hassan. – UTUSAN