PRU15: Meski hilang deposit, calon Bebas Balik Pulau tidak menyesal bertanding - Utusan Malaysia

PRU15: Meski hilang deposit, calon Bebas Balik Pulau tidak menyesal bertanding

SABARUDDIN AHMAD dan JOHNY CH'NG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALIK PULAU: Dua calon Bebas kerusi Parlimen Balik Pulau, Datuk Seri Johnny Ch’ng dan Datuk Seri Sabaruddin Ahmad yang hilang deposit dalam saingan merebut kerusi Parlimen berkenaan tidak menyesal memasuki gelanggang politik pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Johnny yang menggunakan logo Traktor mendapat 180 undi manakala Sabaruddin yang memilih logo Pokok mendapat 366 undi.

Kedua-duanya hilang deposit selepas gagal memperolehi satu per lapan atau 12.5 peratus undi daripada jumlah keseluruhan undi yang dikira.

Johnny berkata, beliau amat menghargai pengalaman sepanjang berpeluang menjadi calon Bebas pada PRU15, malah tidak menyesal meskipun gagal mendapatkan undi yang besar.

”Bagi saya pengundi telah membuat pilihan, dan saya terima keputusan tersebut dengan tenang hati.

”Saya berjaya menjadi calon adalah satu kejayaan juga kerana saya adalah watak baharu dalam dunia politik negara ini,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Parlimen Balik Pulau menyaksikan Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik (PH) kekal memenangi Parlimen berkenaan dengan majoriti undi 1,582 selepas memperoleh 24,564 undi.

Muhammad Harris Idaham Abdul Rashid (PN) pula mendapat 22,982 undi, Datuk Shah Headan Ayoob Hussain Shah (BN) memperoleh 15,478 undi dan Ahmad Fazli Mohammad (GTA) turut hilang deposit selepas memperoleh 341 undi.

Menurut Johnny, beliau akan bertanding pada pilihan raya umum selepas ini dan tidak akan berhenti meneruskan kerja-kerja kebajikan bagi penduduk di Balik Pulau.

”Saya akan teruskan khidmat bakti kepada penduduk Balik Pulau menerusi platform pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti yang saya buat sebelum ini dan akan kembali bertanding dalam pilihan raya umun akan datang,” katanya.

Dalam pada itu, Sabaruddin berkata, beliau akur dengan keputusan dibuat pengundi pada PRU15 dan berharap wakil rakyat yang mendapat mandat melaksanakan tugas dengan sebaik mungkin.

”Siapa yang dipilih rakyat mesti turun padang membantu, mereka perlu memegang amanah dengan sebaik-baiknya serta jangan lari daripada tanggungjawab mereka,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya