IPOH: Walaupun diperas ugut, calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kinta, Datuk Mazlan Abd. Rahman tidak patah semangat untuk meneruskan kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Menurutnya, beliau sama sekali tidak gentar dengan ugutan itu meskipun ia merupakan cubaan untuk menyerang peribadinya.
“Sepanjang berkempen, saya tidak pernah kacau orang dan menyentuh peribadi sesiapa termasuk calon-calon yang bertanding.
“Saya berkawan dengan semua, malah jika jumpa calon atau penyokong parti lawan, kami berpelukan. Masyarakat di sini juga mengenali saya melalui kerja dan perkhidmatan.
“Saya berjuang dalam politik hampir 28 tahun dan melalui banyak proses termasuk dilemparkan pelbagai fitnah. Ugutan ini tidak akan mematahkan semangat saya terus berjuang untuk rakyat,” katanya ketika ditemui di Bandar Baru Tambun, di sini hari ini.
Menurut Naib Ketua UMNO Bahagian Tambun itu, dia menerima mesej ugutan menerusi WhatsApp sebanyak dua kali pada Selasa dan semalam yang memintanya membayar RM300,000.
Katanya, jika wang itu tidak diberikan, suspek akan menyebarkan surat layang dan risalah kononnya berkaitan isu peribadinya di media sosial.
“Saya tidak tahu apa motif individu itu mengugut saya. Jika mahu saya bayar RM300,000, saya memang tiada duit.
“Saya pun tidak tahu mesej itu daripada siapa dan tidak mahu menuduh. Biarlah polis jalankan siasatan dan saya telah rujuk kepada peguam untuk tindakan lanjut,” katanya yang membuat laporan berkaitan perkara itu di Balai Polis Tambun semalam.
Sementara itu, Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, polis menerima laporan membabitkan calon BN DUN Hulu Kinta itu yang diperas ugut melalui aplikasi WhatsApp.
Katanya, jika pengadu tidak membayar RM300,000 yang diminta, suspek akan menyebarkan surat layang bagi memburukkan calon berkenaan.
“Satu laporan polis diterima daripada mangsa yang mendakwa dia telah diugut melalui nombor telefon tidak dikenali ketika sedang berkempen.
“Mangsa diugut supaya membayar RM300,000 dan sekiranya gagal berbuat demikian, suspek akan menyebarkan surat layang, risalah dan mesej tular di media sosial bagi memburuk-burukkan mangsa dengan niat menjatuhkannya,” katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.
Pada PRU15, Mazlan, 50, berhadapan saingan empat penjuru melibatkan penyandang kerusi DUN Hulu Kinta, Muhamad Arafat Varisai Mahamad daripada Pakatan Harapan (PH), Puteri Holijah Mohd. Rali (PN) dan S. Murugiah (Bebas). – UTUSAN