GEORGE TOWN: Lokasi alternatif bagi pusat pemindahan sementara (PPS) di Pulau Pinang telah dikenal pasti sekiranya berlaku banjir pada hari pengundian Sabtu ini.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, semua agensi termasuk pihak polis sudah bersedia sekiranya berlaku bencana banjir pada hari tersebut.
”Polis bersama kerajaan negeri serta beberapa agensi terlibat telah mengenal pasti lokasi PPS alternatif. Mana-mana lokasi PPS yang sebelum ini dijadikan pusat mengundi akan kekal sebagai pusat mengundi.
”Kita akan tukar PPS tersebut ke PPS alternatif yang terletak di sekitar kawasan yang terlibat kelak,” katanya dalam sidang akhbar di Dewan Sri Pinang, di sini hari ini.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) sebelum ini meramalkan ribut petir, hujan lebat dan angin kencang akan melanda beberapa kawasan di seluruh negara mulai 13 November hingga hari pengundian PRU15 pada 19 November.
Dalam pada itu, Mohd. Shuhaily berkata, sehingga kini sebanyak 1,253 permohonan permit ceramah telah diluluskan oleh ketua polis daerah dengan 456 permit telah dilaksanakan.
Selain itu katanya, seramai 4,470 pegawai dan anggota akan bertugas dalam pelbagai tugas termasuk kawalan lalu lintas dan keselamatan di 331 pusat mengundi dan 2,134 saluran di negeri itu Sabtu ini.
Dalam perkembangan berkaitan kata beliau, polis juga menerima sebanyak 34 laporan sepanjang kempen
PRU15 berbanding 301 laporan yang diterima pada PRU14.
”Jumlah kertas siasatan bagi PRU15 juga menurun dengan 12 kertas siasatan dibuka berbanding 27 pada PRU14.
“Bagi kertas enkuiri polis (KEP) pula, pada pilihan raya kali ini, kita hanya buka satu sahaja sementara pada pilihan raya yang lalu, rekod mencatatkan 37 KEP telah dibuka,” katanya.
Tambahnya, bagi jumlah pertuduhan pula, seramai empat orang dituduh pada PRU15 berbanding dua pada PRU14. – UTUSAN