GUA MUSANG: Kurang 20 jam menjelang hari pengundian Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) jalan masuk ke Kelantan masih ‘sumbak barak’ atau mengalami kesesakan yang teruk berikutan anak perantau pulang untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai pemilih.
Tinjauan Utusan Malaysia hari ini mendapati, bahang PRU15 semakin dirasai apabila bilangan kenderaan perantau semakin bertambah setiap jam memasuki negeri ini melalui pintu masuk Gua Musang sejak petang semalam.
Kenderaan yang melalui Jalan Kuala Lipis-Gua Musang dan Jalan Gua Musang-Kuala Krai juga semakin bertambah dan kesesakan dijangka berlaku sehingga malam ini.
Situasi itu dapat itu dapat dilihat apabila Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Gua Musang di Rantau Manis dan Hentian Gua Musang dipenuhi dengan anak-anak perantau yang berhenti berehat sebelum meneruskan perjalanan ke destinasi masing-masing.
Seorang perantau, Firdaus Mamat, 43, dari Kuala Lumpur berkata, semangatnya untuk pulang ke kampung bagi menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi berkobar-kobar seperti ingin pulang berhari raya.
Katanya, dia bertolak pukul 9 malam tadi dan terpaksa berhenti rehat di lima R&R kerana berlaku kesesakan luar biasa menuju Pantai Timur.
“Saya bertolak dari Kuala Lumpur kira-kira pukul 9 malam, tetapi berhenti di beberapa lokasi sebelum berehat sebentar di bandar ini pada pukul 10 pagi ini.
“Saya bersyukur apabila tiba dengan selamat di bandar ini dan tak tahu berapa jam perjalanan lagi untuk tiba di kampung di Kuala Krai,” katanya.
Seorang lagi perantau, Mohamad Nazuardi, 36, memberitahu, perjalanan ke kampung kali ini berbeza dan bersemangat berkobar-kobar untuk pulang mengundi.
Katanya, dia sekeluarga tidak kisah berdepan kesesakan lalu lintas demi menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.
“Peluang untuk membuat pilihan ini tidak boleh disia-siakan bagi memilih pemimpin dan kerajaan yang mentadbir negara kita.
“Saya berharap semua perantau dapat bersabar dalam pemanduan dan selamat sampai di destinasi masing-masing,” ujarnya. – UTUSAN