KOTA TINGGI: Calon Barisan Nasional (BN) Kota Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang juga Naib Presiden UMNO bukan sahaja tidak lagi risau, malah akan lebih lantang mengangkat isu-isu berkaitan orang Melayu sekiranya menang di kawasan tersebut.
Mengakui berbeza ketika menjadi Ahli Parlimen Pasir Gudang, beliau tidak dapat menyuarakan sepenuhnya perkara berkenaan kerana peratusan penduduk Melayu yang rendah di kawasan tersebut.
“Di Kota Tinggi ini kita mesti menang, satu parti yang mewakili orang Melayu kerana di Parlimen, kita mesti bercakap mengenai Melayu.
“Mesti ada orang menyuarakan tentang Melayu. Kita tahu negara kita majmuk. Semasa saya menjadi Ahli Parlimen Pasir Gudang, saya tak boleh nak cakap sebab di Pasir Gudang Melayu hanya 46 peratus.
“Tetapi, sekarang di Kota Tinggi Melayunya 90 peratus. Jadi, insya-Allah hal-hal orang Melayu saya tidak khuatir untuk bangkitkan,” katanya semasa berjumpa penduduk di Felda Air Tawar 2, dekat sini.
Justeru, beliau berharap rakyat dapat melihat dan menilai bahawa sokongan perlu diberi kepada BN kerana parti terbesar Melayu itu yang bertanggungjawab.
Katanya, pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) menyaksikan UMNO bertanding di 120 kerusi, paling banyak berbanding parti lain kerana mahukan kestabilan.
“UMNO sahaja bertanding 120 kerusi. Kita UMNO menawarkan kestabilan. Parti lain tidak dapat menjayakan kestabilan kerana ambillah Pakatan Harapan (PH), DAP bertanding 55 kerusi, PKR 72 dan Amanah 54 kerusi. Dia setiap orang dapat suku-suku.
“Jadi, macam mana nak ada kekuatan. BN UMNO parti Melayu 120 kerusi, MCA 40 MIC 10. Ramai yang kata BN menawarkan kestabilan ada yang tanya macam mana, maknanya orang Melayu menjadi teras,” katanya. – UTUSAN