PRU15: Kerajaan, politik stabil persiap negara depani bencana ekonomi - Utusan Malaysia

PRU15: Kerajaan, politik stabil persiap negara depani bencana ekonomi

NOORYANA NAJWA Mohd. Najib (dua dari kiri) bersama Thanenthiran (dua dari kanan) ketika hadir ke ceramah di Sungai Acheh, Nibong Tebal, Pulau Pinang malam tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NIBONG TEBAL: Kestabilan politik negara amat penting bagi mempersiapkan Malaysia dalam menghadapi kemelesetan ekonomi dunia yang dijangka berlaku tahun depan.

Anak bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Nooryana Najwa bagaimanapun berkata, kestabilan ekonomi yang didambakan itu terletak pada tangan para pengundi yang bertanggungjawab memilih kerajaan sekali gus menentukan hala tuju negara pada 19 November ini.

Katanya, rakyat bakal berdepan kesusahan sekiranya kerajaan tidak stabil yang diburukkan lagi dengan bencana ekonomi yang dijangka berlaku tahun depan.

“Kadar inflasi yang tinggi dan nilai ringgit yang semakin lemah juga akan memberi kesan kepada rakyat.

“Negara lain sudah beri amaran kepada rakyat mereka, malah telah bersedia berdepan dengan kemelesetan ekonomi sedangkan Malaysia masih tidak mula lagi sebab perlu stabilkan politik kita dahulu.

“Kalau mahu selamat, kita kena ada kestabilan politik yang bakal ditentukan rakyat demi membentuk masa depan yang lebih cemerlang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada program ceramah bersama calon Barisan Nasional (BN) kerusi Parlimen Nibong Tebal, Datuk Seri RS Thanenthiran di Dataran Perda Sungai Acheh, di sini malam tadi.

Terdahulu, Nooryana Najwa mengadakan lawatan ke Pulau Pinang selama dua hari untuk berkempen bagi membantu kemenangan BN pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Sementara itu, Nooryana Najwa berkata, Thanenthiran yang juga rakan karib bapanya adalah calon terbaik untuk mewakili suara penduduk Nibong Tebal.

“’Uncle’ (Thanenthiran) mempunyai banyak perancangan antaranya membina hab kejuruteraan, hospital dan menyelesaikan isu air di sini.

“Kelebihan ‘uncle’ juga ialah beliau akan cepat jawab mesej WhatsApp sekali gus membuktikan apa juga masalah mesti beliau dapat selesaikan dengan pantas,” katanya.

Parlimen Nibong Tebal menyaksikan pertandingan empat penjuru yang mana Thanenthiran akan menentang Datuk Mansor Othman (PN); Fadhlina Sidek (PH) dan Goh Kheng Huat (Bebas).

Pada PRU14, kerusi itu dimenangi Mansor yang ketika itu bertanding atas tiket PKR dengan undi sebanyak 35,395 menewaskan Datuk Shaik Hussein Mydin (BN) yang mendapat 19,578 undi manakala Mohd. Helmi Harun (Pas) memperoleh 6,875 undi dan Tan Tee Beng (Bebas) mendapat 331 undi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya