BUTTERWORTH: Persatuan Sejarah dan Warisan Pulau Pinang (Perwarisan) berharap kerajaan baharu selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dapat membela nasib golongan Melayu Pulau Pinang yang disifatkannya semakin terpinggir daripada arus pembangunan.
Presiden Perwarisan, Prof. Dr. Muhammad Salleh, 80, berkata, nasib kebanyakan orang Melayu di negeri itu terutama di selatan Pulau Pinang yang rata-ratanya golongan nelayan dan keluarga B40 semakin terhimpit.
“Pembangunan yang dilaksanakan secara besar-besaran sejak dahulu lagi di dua hingga tiga (bahagian) selatan (Pulau Pinang) memusnahkan persekitaran tradisional orang Melayu selain menjejaskan cara hidup nelayan dan penduduk kampung.
“Ini adalah antara yang kami sedang perjuangkan kerana Perwarisan ialah persatuan yang cuba mempertahankan hak dan melihat perancangan masa depan orang Melayu Pulau Pinang itu sendiri,” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini baru-baru ini.
Selain itu, Muhammad turut menyentuh pembangunan dalam sektor pelancongan yang mana kerajaan perlu mewujudkan sebuah kampung Melayu tradisional kerana dapat memelihara identiti dan memartabatkan budaya serta warisan orang Melayu.
“Sejak dahulu saya ada menyebut betapa perlunya diadakan sebuah kampung yang menyimpan rumah-rumah lama dengan memaparkan cara hidup Melayu lama.
“Selain itu, perlu adanya pertunjukkan pentas bangsawan bukan sahaja untuk orang Melayu, malah pelancong luar juga berpeluang merasai dengan lebih dekat cara hidup masyarakat tersebut, tapi perkara ini tidak diwujudkan,” katanya.
Tambah beliau, kerajaan baharu kelak juga perlu menjadikan Kementerian Kebudayaan sebagai entiti yang berdiri sendiri tanpa dibayangi peranan lain seperti pelancongan dan kesenian.
Sasterawan Negara itu berkata, kerajaan baharu itu juga perlu melantik kalangan Menteri yang berpengetahuan serta merupakan ahli dalam portfolio masing-masing bagi mengelakkan kecelaruan peranan dan tugas sehingga menjejaskan fungsi sesebuah kementerian itu sendiri.
“Jika kita main tangkap muat, maka kerajaan yang dibentuk itu akan menjadi terumbang-ambing,” katanya. – UTUSAN