PRU15: Jangan lihat slogan semata-mata

PRU15: Jangan lihat slogan semata-mata

MAHDZIR Khalid (dua dari kiri) bersama-sama golongan muda yang bergambar dengannya ketika menghadiri Program Kempen Pembukaan Tanah Terbiar dan Tanam Semula Felcra Berhad di Felcra Perupok, Pendang, Kedah. - UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENDANG: Pengundi diingatkan tidak membuat pilihan bersandarkan kepada slogan yang dicanang sesebuah gabungan atau parti politik semata-mata.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, slogan yang dicanang kadangkala berbeza dengan realiti dan tidak menggambarkan keadaan sebenar sesebuah parti.

Malah katanya, rakyat ketika ini sudah bijak mengumpul dan menilai setiap maklumat diterima mereka terutama yang diperoleh dalam media-media sosial.

“Slogan ini boleh dibuat dan direka tetapi apabila tiba kepada pelaksanaan dalam kerajaan nanti, mereka tahulah slogan itu ke mana dan aktiviti sebenarnya macam mana. Macam-macam boleh berlaku sebab rakyat sudah ada informasi di hujung jari. Hampir setiap hari mereka kumpul serta nilai maklumat dan disebabkan itu, mereka mampu nilai slogan mana yang boleh dipercayai dan dilaksanakan,” katanya selepas Program Kempen Pembukaan Tanah Terbiar dan Tanam Semula Felcra Berhad di Felcra Perupok, hari ini. 

Ketika ini Perikatan Nasional (PN) dilihat menggunakan slogan ‘Bersih dan Stabil’ bagi memenangi hati pengundi manakala Pakatan Harapan (PH) mengunakan slogan ‘Kita Boleh’.

Barisan Nasional (BN) pula mengangkat tema kestabilan dan kemakmuran dalam manifesto mereka yang merangkumi pelbagai aspek termasuk hubungan antara kaum, ekonomi dan politik tanah air bersandarkan trek rekod mereka memimpin negara sebelum ini. 

Mengulas keadaan pada hari terakhir berkempen hari ini, Mahdzir berkata, momentum sokongan terhadap BN dilihat kian meningkat tanpa mengira kaum. 

“Sama ada Melayu, Cina, India dan lain-lain, mereka tampak kian ampuh memberi sokongan. Ada antara mereka mengaku tidak mengundi BN pada 2018 tetapi kali ini menyatakan hasrat kembali memberi undi kepada kami,” katanya. 

Dalam pada itu, isu tanah terbiar bagi kawasan pertanian mahu pun komuniti antara perkara yang diberi keutamaan oleh BN sekiranya diberi mandat untuk terus membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15). 

Mahdzir yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar berkata, antara agensi yang akan digerakkan bagi mengatasi masalah itu adalah Felcra yang terletak di bawah kementeriannya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya