BERA: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengingatkan semua penyokong dan ahli Barisan Nasional (BN) tidak melakukan sebarang provokasi sepanjang dua minggu tempoh kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) berlangsung.
Beliau yang juga Naib Presiden UMNO berharap agar suasana PRU15 dapat dikekalkan dalam suasana harmoni sebagai satu Keluarga Malaysia.
“Saya sudah ingatkan sebelum ini dan saya ingin ingatkan lagi sekali jangan ada sebarang tindakan provokasi seperti menurunkan bendera, mengoyak bendera dan poster dan sebagainya.
“Kekalkan suasana sebagai satu Keluarga Malaysia. PRU15 hanya dua minggu, sebelum PRU15 kita aman damai. Jangan rosakkan,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis Kenduri Rakyat di Dewan Semai Bakti Felda Sebertak, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas insiden bahan kempen parti calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Triang dari Pakatan Harapan (PH) yang dirosakkan dalam satu video siaran langsung calon berkenaan yang tular di sini, semalam.
Difahamkan bahan kempen seperti bendera, sepanduk dan poster parti itu dirosakkan individu tidak dikenali.
Ismail berkata, tiada bukti yang menunjukkan perkara terbabit dilakukan penyokong BN malah katanya, kemungkinan ia dilakukan oleh ahli parti itu sendiri.
“Kita tidak tahu siapa yang buat kerana tiada bukti. Mungkin juga ia dilakukan oleh ahli parti itu sendiri. Macam-macam perkara boleh berlaku dalam pilihan raya umum (PRU),” katanya.
Ketika ditanya tips untuk kekal cergas sepanjang tempoh PRU15 berlangsung, beliau berkata, antaranya adalah dengan mengambil pelbagai vitamin selain mencuri waktu rehat dalam kereta.
“Saya ada mengambil multivitamin. Saya juga akan memastikan saya tidur ketika dalam kereta ketika dalam perjalanan dari satu program ke satu program. Dalam kereta adalah waktu tidur saya,” katanya. – UTUSAN