TUMPAT: Calon Barisan Nasional (BN), Datuk Che Abdullah Mat Nawi ditemani ibunya, Che Gayah Che Abdullah, 84, keluar mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Delima, di sini hari ini.
Che Abdullah yang semakin selesa memakai baju biru tiba bersama ibunya pada pukul 9.05 pagi untuk mengundi.
Penyandang kerusi Parlimen Tumpat yang menang atas tiket Pas pada PRU14 lalu selesai mengundi pada pukul 9.30 pagi di saluran dua.
Che Abdullah berkata, beliau mengharapkan pengundi keluar awal mengundi bagi mengelakkan sebarang masalah di saat akhir.
“Alhamdulillah cuaca hari ini baik, jadi saya mendoakan semoga proses pengundian berjalan lancar,” katanya.
Pada PRU14 lalu, Che Abdullah menang dengan majoriti 17,500 undi atas tiket Pas.
Che Abdullah mendapat undi sebanyak 47,041 manakala Datuk Wan Johani Wan Hussin (BN) memperoleh 29,541 undi dan Datuk Nordin Salleh (PKR) hilang deposit selepas meraih 10,003 undi.
PRU15, Che Abdullah bakal ditentang calon Pas, Datuk Mumtaz Md. Nawi; Che Muhammad Aseri Che Ali (Parti Bumiputera Perkasa Malaysia – Putra), Wan Johari Wan Omar (Pakatan Harapan) dan Khairul Azuan Kamarrudin (Warisan). – UTUSAN