BERA: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pelbagai usaha dilakukan kerajaan bagi membantu generasi kedua Felda yang merupakan penyokong setia Barisan Nasional (BN) sejak dahulu lagi.
Perdana Menteri berkata, antaranya berkenaan isu perumahan seperti perumahan baharu generasi Felda dan juga terbaharu skim tanah lot rumah untuk golongan tersebut.
Felda juga katanya, menyediakan peruntukan untuk skim jaminan kredit perumahan kepada generasi kedua Felda yang tidak mempunyai slip gaji tetapi berhasrat membeli rumah.
“Kerajaan juga melalui Bajet 2023 menyediakan skim jaminan kredit perumahan yang mana sesiapa yang tidak ada slip gaji masih boleh memohon pinjaman perumahan dan skim dijamin kerajaan.
“Begitu juga pinjaman belia kepada generasi kedua memulakan perniagaan, Felda menyediakan skim untuk pinjaman bagi usaha generasi kedua Felda ini dan mereka juga terbuka mohon skim lain seperti Agrobank dan sebagainya,” katanya dalam sidang akhbar selepas Program Kenduri Rakyat Bersama Komuniti Kemayan di Bilik Gerakan Bandar Kemayan di sini hari ini.
Ismail Sabri berkata, sejak dahulu lagi, Felda yang mempunyai ramai pengundi menjadi deposit tetap BN dalam setiap pilihan raya.
“Saya tidak pernah kalah di mana-mana kawasan Felda malah undi paling besar adalah di kawasan Felda kerana jumlah penduduknya ramai, sebagai contoh Felda Purun mempunyai lebih 3,000 pengundi.
“Generasi kedua Felda juga merupakan penyokong kita, cuma isu-isu yang berkaitan dengan mereka perlu diselesaikan,” katanya. – UTUSAN