BALIK PULAU: Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli menyifatkan `fatwa politik’ Pas berubah-ubah mengikut jalan mana yang paling dekat untuk pemimpin parti itu mendapatkan kuasa atau menuju ke Putrajaya.
Dakwa beliau, perjuangan Pas juga bukan soal kepentingan orang Melayu atau umat Islam tetapi untuk memastikan kira-kira empat atau lima pemimpin daripada parti itu dapat menjadi Menteri.
Malah kata beliau, sekiranya matlamat mendapatkan jawatan itu bermaksud Pas perlu `mencucikan’ UMNO walaupun selama lebih 50 tahun menuduh parti itu bukan parti yang betul, maka UMNO hari ini akan menjadi parti yang baik buat Pas.
“Jika minggu depan pemimpin Pas tiba-tiba dapat idea untuk sampai ke Putrajaya perlu berbaik dengan DAP, maka jangan terkejut kalau tiba-tiba (bagi Pas), DAP akan jadi `orang Islam’ paling baik di Malaysia,” katanya ketika berucap pada program ceramah Pakatan Harapan (PH) di pekan Balik Pulau, di sini malam tadi.
Dalam pada itu, Rafizi yang juga calon PH kerusi Parlimen Pandan menyifatkan kempen Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) pada PRU15 adalah kempen lawan paling `cokia’ dan `cabuk’ yang pernah dihadapinya sepanjang empat pilihan raya yang pernah diuruskan beliau.
Berbanding PRU14 kata beliau, PH agak `berpeluh’ ketika melawan kempen BN kerana adanya isu melibatkan Datuk Seri Najib Tun Razak serta isu isteri bekas Perdana Menteri itu, Datin Seri Rosmah Mansor.
Namun kali ini tambahnya, tidak ada isu besar yang dimainkan parti-parti lawan untuk menyerang PH sehinggakan terpaksa menggunakan isu berbaur sentimen perkauman dan agama.
Ujarnya, BN dan PN juga tidak menyentuh isu penting dalam ceramah politik mereka antaranya rancangan menguruskan ekonomi dengan lebih baik serta memastikan pekerja di negara ini mendapat gaji yang lebih tinggi.
“Hanya PH yang dalam kempen selama 10 hari ini bercakap tentang soal memastikan gaji yang tinggi dalam kalangan rakyat.
“Tetapi UMNO, Pas dan Bersatu sampai sekarang tidak sentuh soal ini kerana mereka tidak mempunyai idea dan akal bagaimana mahu selesaikan isu gaji ini,” katanya.
Jelas beliau, sekiranya isu itu dapat diselesaikan dan rakyat mendapat tangga gaji yang tinggi, isu seperti kenaikan harga barang dan kos sara hidup tinggi yang berlaku ketika ini dapat diatasi kerana rakyat mempunyai lebihan dalam pendapatan mereka. – UTUSAN